Home Luar Negara POLIS INDONESIA KINI BOLEH PEGANG JAWATAN AWAM

POLIS INDONESIA KINI BOLEH PEGANG JAWATAN AWAM

22
0

JAKARTA: Parlimen Indonesia, semalam, meluluskan semakan terhadap undang-undang polis negara yang membenarkan pegawai polis yang masih berkhidmat untuk memegang jawatan dalam pentadbiran awam.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pindaan itu dibuat setahun selepas Parlimen menyemak semula undang-undang tentera negara itu, yang memperuntukkan lebih banyak jawatan awam kepada anggota pasukan pertahanan dan keselamatan.

Sejak memegang jawatan pada 2024, Presiden Prabowo Subianto meluaskan peranan tentera dalam hal ehwal awam.

Bekas komander pasukan khas itu juga melantik pegawai kanan polis dan tentera dalam pentadbirannya.

Rang undang-undang (RUU) itu diluluskan sebulat suara di Parlimen.

Di bawah undang-undang baharu itu, pegawai polis yang sedang berkhidmat tidak perlu meletakkan jawatan sebelum mereka dilantik ke institusi negeri atau kementerian lain di luar Polis Negara, termasuk jawatan awam. Ia dengan syarat jawatan berkenaan berkaitan dengan tugas dan fungsi polis, menurut salinan RUU itu yang dilihat oleh Reuters.

Jawatan itu adalah yang berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraman awam, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan, penjagaan dan perkhidmatan kepada orang ramai di kementerian atau agensi.

Pegawai polis yang aktif juga boleh mengisi jawatan di luar organisasinya berdasarkan permintaan daripada presiden, kementerian atau agensi lain selagi kepakaran mereka diperlukan, menurut RUU berkenaan.

Sarifuddin Sudding, ahli jawatankuasa parlimen yang terbabit dalam perbincangan RUU itu memberitahu Reuters bahawa pegawai polis tidak perlu meletakkan jawatan kerana kepakaran mereka diperlukan oleh pentadbiran.

“Rangka kerja undang-undang yang lebih responsif dan boleh disesuaikan adalah penting untuk memastikan Polis Negara dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan,” kata Menteri Undang-Undang Supratman Andi Agtas dalam sidang pleno Parlimen.-Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here