KUALA KRAI: Lapan warga Myanmar termasuk dua wanita ditahan dalam Op Bersepadu dan Op Khazanah di sebuah ladang durian seluas kira-kira 60 ekar di Kampung Mia, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata operasi tersebut dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)
“Dalam operasi yang dijalankan hasil maklumat orang awam itu, pihak berkuasa turut merampas senjata dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram serta pelbagai bahagian hidupan liar yang disyaki dilindungi.
“Operasi bermula pada jam 12 tengah malam 8 Jun dan berakhir pada jam 6 pagi, semalam,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai lapan warga Myanmar berjaya ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita, manakala seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan turut ditemui bersama kumpulan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan satu laras senapang angin dan dua bilah lembing yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemburuan haram.
“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan dan rampasan beberapa bahagian hidupan liar yang disyaki dilindungi, termasuk enam unit disyaki kuku hidupan liar, 12 unit disyaki taring hidupan liar, tujuh unit disyaki tulang hidupan liar dan enam unit bahagian hidupan liar lain,”katanya.
Selain itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah tong yang mengandungi daging dipercayai daripada hidupan liar.
Mazlan berkata kesemua tangkapan dan rampasan disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) AKLSB 1958 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Menurutnya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PERHILITAN serta maklumat yang disalurkan oleh orang awam.
“PDRM IPD Kuala Krai merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam usaha membanteras aktiviti pemburuan haram dan pemilikan bahagian hidupan liar yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang berkaitan hidupan liar.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah hidupan liar negara terus terpelihara dan dilindungi daripada kegiatan pemburuan haram.