Sydney: Polis Australia didakwa membunuh seorang pengacara televisyen dan teman lelakinya, yang mayat mereka belum ditemukan.
Detektif Superintendan Danny Doherty berkata, seorang konstabel polis berusia 28 tahun didakwa atas dua pertuduhan membunuh, selepas pencarian dilakukan selama tiga hari di seluruh Sydney.
“Awal minggu ini, pakaian berlumuran darah di dalam tong sampah ditemukan di pinggir bandar yang membawa pasukan polis ke rumah bekas pengacara dan wartawan hiburan dikenali sebagai Jesse Baird, 26.
“Ketika menggeledah rumah flat Baird, sejumlah besar tompokan darah milik teman lelaki kepada individu terbabit iaitu pramugara penerbangan Qantas Luke Davies, 29 telah ditemukan,” kata Doherty.
Peluru yang ditemukan di flat itu sepadan dengan senjata api polis manakala, senjata itu ditemukan di dalam peti besi balai polis.
Polis itu dikatakan mempunyai hubungan dengan Baird sehingga baru-baru ini, dan ia berakhir dengan ‘teruk’.
Baird pernah menjadi penyampai di Network Ten Australia.
Pada 23 Februari, pegawai itu menyerahkan diri ke Balai Polis Bondi, berhampiran pantai terkenal di negara itu.
Rakaman tangkapan menunjukkan dia digari dan diiringi masuk ke dalam bangunan dengan memakai topi gelap.
Dia kekal dalam tahanan dan polis akan menolak permohonan ikat jamin.
“Polis mendakwa mayat dua lelaki itu diangkut dengan sebuah van putih sebelum dilupuskan dan pemeriksaan forensik van itu sedang dijalankan.
“Adalah penting untuk kita mencari mayat, bukan sahaja untuk punca kematian tetapi juga untuk jawapan untuk keluarga yang bersedih,” kata Doherty.
– AFP, HMetro Online –






