Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu kegiatan penyeludupan minyak petrol dalam serbuan di sebuah stor yang terletak di pengkalan haram Koya, pada Jumaat.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, serbuan yang dijalankan Batalion 8 PGA itu dilakukan sekitar jam 7 pagi menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemerhatian awal mendapati terdapat 11 individu, terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita, sedang memindahkan minyak dari kenderaan ke dalam tong.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan 10 buah kenderaan yang kesemuanya sudah diubah suai pada bahagian tangki. Minyak petrol dianggarkan berjumlah 855 liter ditemui di dalam tangki-tangki tersebut dan disyaki untuk diseludup ke negara jiran, Thailand.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM147,000 termasuk kenderaan terlibat,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Nik Ros Azhan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






