Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 23 pokok bonzai hitam dipercayai diseludup dari Thailand dirampas sepasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), dalam Op Taring Wawasan, yang dikesan secara berasingan di Kampung Kedap dan Kampung Kubang Rambutan, di sini.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata kegiatan itu dikesan apabila menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10.00 malam, pada Isnin.
“Dalam kejadian berasingan itu, dua lelaki iaitu pemandu lori terbabit masing-masing berumur 25 dan 30 tahun turut ditahan kerana dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 23 pokok bonzai hitam dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam dua lori tersebut. Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,”katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM 2.1 juta dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






