Home Buletin Semasa PESAKIT KANSER JUAL BISKUT TAMPUNG KOS RAWATAN

PESAKIT KANSER JUAL BISKUT TAMPUNG KOS RAWATAN

154
0

Pesakit kanser rahim, Che Romah Abdullah, 58, mencari peluang ketika bulan Ramadan ini, membuat biskut raya bagi menampung kos rawatannya di hospital selain menyara tiga cucunya yang masih kecil.

Bagaimanapun, katanya disebabkan kekurangan modal untuk membeli bahan mentah yang agak mahal ketika ini menyebabkan dia terpaksa mengurangkan tempahan walaupun permintaan banyak.

Katanya, suaminya, Shameek Ahmaed Shahul Hameed, 53, pula tidak dapat bekerja kerana baru sembuh daripada penyakit angin ahmar.

“Saya mula buat tempahan kuih raya ni sejak pandemik COVID-19 tahun 2020 dan ketika itu, banyak tempahan yang saya terima termasuk dari Perlis, Johor dan Negeri Sembilan.

“Tapi tahun ini saya terpaksa kurangkan tempahan disebabkan kekurangan modal, selain saya tidak boleh buat kerja berat, manakala suami pula baru sembuh dari angin ahmar.

“Nak harap anak pula, mereka hanya bekerja kampung dan dapat pendapatan pula tidak menentu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Jalan Sungai Petani-Alor Setar, di sini semalam.

Che Romah berkata, setiap hari dia hanya mampu menghasilkan tempahan satu jenis biskut sahaja seorang diri dengan menguli tepung secara manual bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Katanya, dalam seminggu dia mampu menghasilkan tujuh jenis biskut dan setiap hari tempahan yang siap akan dihantar terus kepada pelanggan.

“Hasil pendapatan menjual biskut ini bolehlah saya simpan untuk menampung kos rawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana bimbang jika apa-apa kecemasan, saya boleh guna duit ini.

“Tiga cucu berusia enam hingga 11 tahun pula tinggal bersama saya selepas ibu bapa mereka berpisah dan ketiga-tiga mereka masih bersekolah,” katanya.

Menurut Che Romah, dia buntu memikirkan masalah untuk mencari modal kerana itulah saja punca rezeki buat dirinya.

Katanya, jika kesihatan dirinya baik, dia akan terus membuat biskut walaupun bukan musim perayaan kerana adakala pelanggan mencari biskut untuk kudapan.

“Selepas menjalani pembedahan sebelum ini, saya tidak dapat berdiri lama dan terpaksa duduk di lantai untuk membuat kuih kerana kaki saya tak berapa kuat sangat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi Che Rosmah berkata, pihaknya sebelum ini turut memberi sumbangan sebuah ketuhar gelombang bagi membantunya menjana pendapatan membuat biskut.

“Che Romah kekurangan modal untuk berniaga dan berharap ada pihak yang sudi membantunya bagi membolehkan dia menyimpan untuk kegunaan kos rawatannya di hospital.

“Rawatan kanser memerlukan kos rawatan yang banyak dan disebabkan itu, CSM turut memberi semangat kepadanya supaya dia dapat meneruskan kehidupannya,” katanya.

Sumber: Berita Online

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here