Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Kayap biasanya akan timbul pada individu yang telah dijangkiti penyakit cacar air (chicken pox). Ia berlaku kerana virus ‘varicella zoster’ masih aktif dan merebak mengikut saluran saraf pada kulit, lalu mengakibatkan ruam kayap.
Segelintir pesakit yang mengalami ‘chicken pox’, kemudian mereka sembuh dan berkemungkinan untuk mendapat kayap pada masa hadapan.
Walaupun demikian, bukan semua orang yang mendapat ‘chicken pox’ akan menghidap kayap.
Individu yang terkena kayap akan merasakan rasa sakit yang teruk pada bahagian sebelah badan dan terasa seakan dirinya sedang dililit dengan ular.
Selain itu, akan timbul juga beberapa lepuh kecil pada bahagian sakit itu.
Gejala kayap mempunyai tiga fasa seperti sebelum timbulnya ruam, ketika timbulnya ruam dan selepas timbulnya ruam.
- Sebelum ruam: sebelum terjadinya ruam pada badan, pesakit akan merasakan kesakitan pada kulit selama 2 hingga 3 hari. Mereka juga berkemungkinan mengalami demam, sakit kepala, sakit badan dan berasa letih.
- Ketika ruam: ruam akan timbul dan berbentuk lepuh (blister) kecil, ia mengambil masa selama 7 hingga 10 hari untuk kering manakala parut akan hilang dalam tempoh 2 hingga 4 minggu. Pesakit juga turut mengalami:
- Sakit yang teruk di bahagian kulit akibat keradangan saraf oleh virus
- Berasa kebas dan seperti terbakar atau dicucuk
- Kulit yang terlibat berasa sensitif jika disentuh
- Gatal
- Sekiranya ruam timbul pada muka, pesakit hendaklah berjumpa dengan doktor dengan segera untuk mengelakkan berlakunya komplikasi berpanjangan.
3. Selepas ruam: selepas ruam kayap sembuh, pesakit kayap mungkin masih berasa sakit pada bahagian tersebut untuk beberapa bulan. Perkara ini berlaku dalam 20 hingga 40% dari pesakit kayap.
Bagi pengetahuan anda semua, kayap tidak boleh dirawat sepenuhnya dengan ubat namun ia boleh dirawat untuk mengurangkan kesakitan dan memendekkan jangka masa untuk pulih.
Bagaimanapun, sakit yang mengalami gejala kayap haruslah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai rawatan yang sesuai serta haruslah prihatin dalam mengasingkan diri daripada golongan yang tidak pernah mendapat ‘chicken pox’.
Bagi golongan yang tidak pernah mendapat kayap, langkah yang paling penting untuk mencegah penyakit ini adalah dengan mengambil vaksin Zostavax.
IMedikel TV






