Colombo: Restoran McDonald’s di seluruh Sri Lanka ditutup Ahad selepas gergasi makanan segera Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan pertempuran undang-undang dengan pemegang francais tempatannya berhubung dakwaan kebersihan yang tidak baik, kata pegawai mahkamah.
Mahkamah Tinggi Komersial Colombo memerintahkan penutupan sehingga 4 April, selepas syarikat induk menuduh pemegang francais tempatan, gagal memenuhi piawaian kebersihan antarabangsa.
“Penutupan itu diarahkan sementara menunggu siasatan,” kata seorang pegawai mahkamah.
Beliau berkata, peguam untuk McDonald’s memberitahu mahkamah bahawa mereka menamatkan perjanjian francais dengan syarikat tempatan Abans minggu lepas. Perbicaraan akan disambung pada awal April.
Tiada komen serta-merta sama ada daripada McDonald’s atau Abans yang memegang francais dengan 12 cawangan, sejak firma AS itu masuk ke Sri Lanka pada 1998.
Notis dilihat di luar kedai McDonald’s pada Ahad mengatakan ia “ditutup” dan tidak ada petunjuk jika atau bila ia boleh dibuka semula.
Apabila masalah teknologi mengganggu tempahan di kedai di seluruh Asia timur minggu lalu, kedai McDonald’s Sri Lanka, tidak terjejas. – AFP, Hmetro Online –
IMedikel TV






