Home Sukan PERUBAHAN TAKTIKAL YPM FC MEMBUAHKAN HASIL

PERUBAHAN TAKTIKAL YPM FC MEMBUAHKAN HASIL

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengubah taktikal pada perlawanan menentang PIB Shah Alam ternyata memberi impak positif apabila berjaya membawa pulang tiga mata penting menerusi kemenangan 1-0, petang semalam.

Ketua jurulatih YPM FC, Syed Farul Hakim Syied Mahmud berkata, beliau bersama barisan kejurulatihan mengubah pendekatan dengan lebih banyak melakukan kajian dan pemantauan terhadap corak permainan lawan sebelum turun beraksi.

Beliau berkata, setiap kekuatan dan kelemahan pasukan dikaji dalam usaha memastikan YPM FC tampil dengan taktikal lebih padu sekali gus mampu meraih keputusan positif pada setiap perlawanan.

“Memasuki perlawanan pusingan kedua Liga A1 Semi Pro ini, kami banyak mengubah corak permainan termasuklah melakukan kerja rumah sebelum turun beraksi.

“Kami mahu lebih bersedia menghadapi setiap perlawanan dengan matlamat mahu mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan.

“Ketika ini, semua pemain berada dalam keadaan optimum dan tiada masalah mengikut taktikal baharu yang diterapkan kepada mereka,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, YPM FC merakam kemenangan 1-0 mengatasi PIB Shah Alam pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Stadium USIM, Nilai, Negeri Sembilan, petang semalam.

Gol tunggal hasil jaringan Helmi Abdullah pada awal perlawanan sudah cukup untuk YPM FC membawa pulang tiga mata sekali gus memperbaiki kedudukan saingan Liga A1 Semi Pro.

Ketika ini, YPM FC berada dikedudukan ke 12 saingan liga dengan mengutip 12 mata masing-masing menerusi tiga kemenangan dan seri. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here