Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menetapkan nyanyian lagu DBP pada permulaan kegiatan yang dianjurkan oleh pihaknya.
Pengarah DBP, Ariza Ismail berkata, dengan nyanyian lagu itu, masyarakat dapat mengenali serta memahami lirik lagu tersebut.
“Selain daripada nyanyian lagu Bahasa Jiwa Bangsa, DBP turut menetapkan kaedah seperti setiap kegiatan atau program yang berkaitan akan menyanyikan lagu DBP untuk mengetengahkan lagi bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat.
“Sekiranya lirik lagu itu diteliti dengan betul, ia membawa satu sejarah kepada penubuhan kepada DBP yang tercetus daripada semangat untuk memperjuangkan memperkasakan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Semarak Bulan Bahasa Bulan Bahasa Kebangsaan Sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Ariza berkata pihaknya turut mengambil kesempatan dalam mengetengahkan penghuni penjara dengan menyantuni mereka dengan melaksanakan teater adaptasi daripada karya sasterawan negara untuk mereka.
“Kami juga turut mengadakan teater adaptasi daripada karya sasterawan negara untuk penghuni penjara supaya mereka dapat mengambil intipati pengajaran yang diangkat melalui karya supaya apabila mereka dapat menilai sesuatu di dalam karya tersebut sebaik sahaja dibebaskan dari penjara,” katanya.
Tambahnya, pendedahan terhadap dunia pendigitalan tanpa sempadan, pengaruh media sosial juga menjadi cabaran buat DBP dalam memperjuangkan Bahasa Melayu.
Bagaimanapun katanya, DBP akan terus melaksanakan aktiviti yang bersesuaian untuk memberi kesedaran dalam memantapkan penggunaan Bahasa yang baik dalam kalangan masyarakat.
“Setiap tahun, pihak DBP akan membuat satu perancangan berdasarkan kajian yang paling berimpak untuk melaksanakan program yang memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
I Medikel TV






