LONDON: Pemandu Mexico, Sergio Perez sedar masa depannya dalam Formula Satu (F1) bersama Red Bull tidak menentu menjelang perbincangan dengan pasukan itu pada minggu ini.
Rakan sepasukan Max Verstappen yang bergelut dengan prestasi itu tetap yakin dia akan bersama pasukan itu pada musim depan, di sebalik keputusan mengecewakan di trek yang menyebabkan Red Bull terlepas gelaran pengeluar.
Perez sedar situasi tidak menentu buat dirinya selepas menarik diri pada perlumbaan terakhir musim di Grand Prix (GP) Abu Dhabi, Ahad lalu.
“Kita akan lihat apa bakal berlaku dalam beberapa hari akan datang, saya tidak tahu apa yang akan berlaku buat masa ini,” kata Perez menerusi kenyataan media Red Bull selepas perlumbaan.
“Saya masih ada kontrak dengan pasukan dan saya sedang berunding.
“Tumpuan utama perbincangan adalah mencari penyelesaian terbaik buat semua orang untuk perjalanan seterusnya.”
Perez mengalami masalah besar buat kali kedua berturut-turut pada Ahad lalu berikutan terpaksa menarik diri pada pusingan pertama berikutan kemalangan dengan pemandu Sauber, Valtteri Bottas.
Pemandu Mexico itu menamatkan musim ini dengan 152 mata apabila hanya meraih 49 mata daripada 18 perlumbaan terakhir, jauh ketinggalan berbanding 437 mata diraih Verstappen yang muncul juara dunia kali keempat berturut-turut.
Perez adalah pemandu tunggal daripada empat pasukan teratas yang gagal menang pada tahun ini.
Verstappen menang lapan kali dan meraih gelaran dunia keempat berturut-turut di GP Las Vegas, bulan lalu, ketika masih berbaki dua lagi GP.
Selepas GP Qatar dan sebelum perlumbaan di Abu Dhabi, bos Red Bull, Christian Horner berkata, dia akan membenarkan Perez ‘membuat kesimpulan sendiri’.
Pemandu New Zealand, Liam Lawson yang ketika ini bersama pasukan dimiliki Red Bull iaitu RB, dilihat calon pilihan sebagai pengganti jika Perez diketepikan. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






