London: Bola sepak England akan memperkenalkan peraturan baharu musim depan bagi menghalang pasukan mengambil kesempatan daripada taktik melengahkan permainan dengan penjaga gol berpura-pura cedera.
Memetik laporan Harian Metro, Peraturan itu diluluskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dan akan diuji sepanjang musim 2026-27 membabitkan semua saingan profesional lelaki dan wanita di England.
Percubaan itu mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak England (FA), Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Sepak England (EFL), Liga Nasional serta Liga Super Wanita (WSL).
Mengikut peraturan baharu itu, jika permainan dihentikan kerana penjaga gol mengalami kecederaan, pengurus atau ketua jurulatih perlu segera menamakan seorang pemain padang untuk keluar dari padang selama sekurang-kurangnya seminit selepas permainan disambung.
Langkah itu bertujuan menghapuskan sebarang kelebihan taktikal yang boleh diperoleh ketika permainan dihentikan.
Ketika ini, pemain padang yang menerima rawatan di atas padang juga diwajibkan keluar selama seminit sebelum dibenarkan kembali beraksi.
Sejak kebelakangan ini, insiden penjaga gol meminta rawatan walaupun tanpa sebarang sentuhan daripada pihak lawan semakin kerap berlaku, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong, pengulas dan pengurus pasukan lawan.
Ketika permainan dihentikan, pemain biasanya mengambil peluang berkumpul di tepi padang untuk menerima arahan taktikal daripada jurulatih.
Musim lalu menyaksikan beberapa insiden membabitkan penjaga gol yang dilihat mengalami kecederaan pada saat-saat penting perlawanan.
Pengurus Brighton & Hove Albion, Fabian Hurzeler, pernah mengkritik penjaga gol Arsenal, David Raya, selepas pemain Sepanyol itu menerima rawatan sebanyak tiga kali ketika Arsenal mempertahankan kemenangan 1-0 dalam saingan memburu gelaran EPL.
“Secara keseluruhan, EPL perlu memperkenalkan peraturan baharu kerana apa yang dilakukan Arsenal ketika itu tidak baik untuk bola sepak,” kata Hurzeler.
Pengurus Leeds United, Daniel Farke, turut menuduh penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma, berpura-pura cedera bagi memanipulasi peraturan dan mengganggu rentak permainan.
Bagaimanapun, peraturan baharu itu tidak akan terpakai jika penjaga gol benar-benar dikasari pihak lawan, bertembung dengan pemain lain yang turut memerlukan rawatan atau mengalami pendarahan.
Selain itu, beberapa langkah lain turut diperkenalkan bagi mengurangkan amalan melengah-lengahkan permainan, termasuk kiraan lima saat untuk balingan ke dalam dan sepakan gol serta had 10 saat kepada pemain yang digantikan untuk meninggalkan padang.
Peraturan baharu itu akan mula digunakan bermula aksi pusingan pertama Piala Liga pada 1 Ogos ini.-HMetro Online-
IMedikel TV






