Home Luar Negara PENYANYI D4VD DIBICARA KES BUNUH REMAJA 14TAHUN, SEMBUNYI MAYAT DALAM TESLA

PENYANYI D4VD DIBICARA KES BUNUH REMAJA 14TAHUN, SEMBUNYI MAYAT DALAM TESLA

Los Angeles: Penyanyi Amerika, D4vd akan dibicarakan atas pertuduhan membunuh dan mengerat mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang didakwa mengancam untuk mendedahkan hubungan mereka, menurut keputusan mahkamah pada Isnin.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Charlaine Olmedo memutuskan terdapat bukti yang mencukupi untuk kes itu diteruskan ke perbicaraan selepas prosiding pendengaran selama lima hari, yang menyaksikan pihak pendakwaan mengemukakan mesej teks daripada mangsa, Celeste Rivas Hernandez, yang mayatnya ditemukan di dalam bonet kereta D4vd.

Menurut pendakwaan, mesej berkenaan mengandungi ugutan untuk memusnahkan kerjaya penyanyi itu.

D4vd, 21, atau nama sebenarnya David Anthony Burke, didakwa memulakan hubungan seksual dengan Hernandez ketika mangsa berusia 13 tahun dan dia berusia 18 tahun.

Pendakwa raya mendakwa Hernandez cemburu terhadap seorang wanita lain dan mengancam untuk mendedahkan hubungan mereka pada April 2025, kira-kira 24 jam sebelum kematiannya dan tiga hari sebelum album sulung penyanyi itu dilancarkan.

Dalam mesej yang dikemukakan di mahkamah, Hernandez didakwa mengugut akan “menamatkan kerjaya dan kehidupan” Burke.

Pendakwaan turut mendakwa Burke membayar perkhidmatan Uber untuk membawa mangsa ke rumahnya sebelum menikamnya hingga mati.

Rekod pembelian Amazon yang dikemukakan menunjukkan Burke membeli gergaji rantai, kolam kembung serta sebuah insinerator mudah alih, namun peralatan itu didakwa terlalu kecil untuk memusnahkan mayat mangsa.

Mayat Hernandez yang sudah mereput ditemukan pada September 2025 di dalam bonet sebuah Tesla yang didaftarkan atas nama Burke selepas kenderaan itu ditunda ke sebuah depoh simpanan di Hollywood.

Peguam bela Burke, Blair Berk, berhujah tiada bukti menunjukkan anak guamnya mempunyai niat untuk membunuh.

Bagaimanapun, pendakwa raya Beth Silverman menolak hujah itu dengan menyatakan tiada apa-apa dalam kes berkenaan yang menunjukkan kematian mangsa berlaku secara tidak sengaja.

D4vd mula mencipta nama pada 2022 apabila lagunya, Romantic Homicide, tular di TikTok.

Burke mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh, melakukan penderaan seksual berterusan terhadap kanak-kanak bawah 14 tahun serta mencacatkan mayat secara menyalahi undang-undang.

Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here