Home Hiburan ‘PERAP’ LAGU 13 TAHUN

‘PERAP’ LAGU 13 TAHUN

162
0

SEBUT saja muzik thrash metal di Malaysia, umpama ada pandangan sinis yang tetap mengaitkan genre ini sebagai ‘villain’ atau jahat dan menyesatkan.

Itu yang pernah dilalui kumpulan Cromok yang kini dibarisi dua anggota asal, Karl (gitar) dan Sam (penyanyi, bass) selepas pemain dram, Allahyarham Miji meninggal dunia pada Mac lalu.

Karl berkata, perjalanan tiga dekad Cromok dengan muzik thrash metal agak berliku, namun mampu terus bertahan kerana peminat.

“Muzik sebegini memang ada orang pandang negatif kerana didakwa kurang baik dari segi imej kerana berambut panjang dan bebas dengan unsur barat.

“Apatah lagi, Cromok ditubuhkan ketika kami menyambung pengajian di University of Wollongong, Australia. Jadi, dulu pandangan sinis itu tak dapat dielakkan.

“Tapi, siapa sangka jualan album Cromok laris di pasaran muzik Malaysia hingga ratusan ribu unit pada era 1990-an walaupun lagu-lagunya tidak kami hasilkan muzik video ketika itu.

“Bukan hanya tidak buat muzik video, tapi kami (Cromok) juga kurang terbabit sesi fotografi dengan media untuk promosi lagu sebab muzik thrash metal macam tak sesuai pula nak buat begitu,” katanya.

Menurut Karl, disebabkan itu Cromok mempunyai foto berkumpulan yang terhad dan media menggunakan foto kulit album saja yang disertakan syarikat rakaman.

“Ini antara kenangan yang masih saya ingat sampai sekarang. Alhamdulillah kami ada kelompok peminat tersendiri yang menyokong muzik thrash metal ini,” katanya.

Cromok muncul dengan Konsert The Real Cromok di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember depan yang turut menampilkan dua pemain gitar legenda, Hillary Ang dan Man Keedal.

“Ini adalah kali pertama untuk saya sendiri sebagai pemain gitar beraksi atas satu pentas dengan Hillary dan Man Kidal yang pernah bersama juga dengan Cromok dulu,” katanya.

Karl berkata, konsert ini amat istimewa kerana selain mengundang semua anggota kumpulan itu, ia turut mempersembahkan lagu baharu ciptaannya pada 2011 yang disimpan selama 13 tahun.

“Peminat kami selalu tanya mengenai lagu baharu Cromok. Bukan tidak ada, tapi disimpan dulu kerana saya berasakan belum masanya lagi. Bagaimanapun, sekarang adalah waktu sesuai.

“Kami juga akan menyanyikan lebih 20 lagu dalam konsert itu. Malah, sesi latihan muzik di studio juga sudah dibuat sejak dua bulan lalu untuk stamina kerana faktor usia.

“Maklumlah, lagu Cromok ini laju untuk dimainkan sebab tiada bahagian seperti ‘verse’, ‘chorus’ dan ‘bridge’ sebagaimana karya lagu pop komersial. Itu cabarannya dan ia tidak mudah,” katanya.

Menurut Karl, setiap anggota Cromok kena tahu bahagian masing-masing yang nak dimainkan supaya ketika konsert nanti tidak berkecamuk.

“Setakat ini, persediaan kami untuk konsert sudah mencapai 80 peratus sejak memulakan latihan dua bulan lalu dan kira-kira 30 sesi (latihan) sudah dibuat yang mana empat jam untuk satu sesi.

“Kami berlatih pada sebelah malam sebab Cromok bukan pemuzik sepenuh masa. Dari dulu lagi, kami bermain muzik secara sambilan kerana minat. Namun, masing-masing ada kerjaya tetap sendiri.

“Apa pun, syukur Alhamdulillah jualan tiket konsert sangat positif dan kami dimaklumkan sehingga kini sudah lebih 70 peratus terjual. Terima kasih pada semua yang membeli dan jumpa di konsert nanti,” jelasnya.

Karl yang juga perunding perniagaan berkata, Konsert The Real Cromok bakal menyorot sejarah perjalanan seni kumpulan itu, selain ‘tribute’ buat Miji dan seorang lagi pengasas Cromok, Allahyarham Din yang meninggal dunia pada 1997. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here