Oleh: Alini Nadhirah Ismail, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Anak perantau Kelantan memainkan peranan besar dalam penentuan kepada parti yang akan diberi mandat bagi membentuk Kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 ogos ini.
Menurut Adly Zahari, Naib Presiden Amanah, dari segi analisa yang dilakukan sebelum ini, rakyat Kelantan sendiri sudah lama menolak kerajaan sedia ada dan mahukan perubahan kerana sistem yang sedia ada menyukarkan rakyat dalam isu berkaitan iaitu isu air, isu tanah serta isu berkaitan dengan pekerjaan.
“Saya tahu bahawa Kelantan sendiri pun dalam Pilihan Raya Umum ke 15 tidak membubarkan DUN kerana mereka tahu mereka sendiri pun tidak yakin pembubaran itu boleh memberikan kemenangan,”katanya.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata ia sekali gus tidak mustahil sekiranya parti di bawah Kerajaan Perpaduan diberi mandat untuk kepimpinan di negeri ini selepas PRN nanti.
“Jadi isu-isu negeri banyak diperkatakan oleh rakyat Kelantan dan ini mungkin masa yang baik untuk rakyat Kelantan buat perubahan sesuai untuk membangunkan negeri Kelantan dan selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di Malaysia.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Perasmian Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan Ke-54 Tahun 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Imedikel TV






