Home Luar Negara GEMPA BUMI 5.4 MAGNITUD MELANDA SHANDONG

GEMPA BUMI 5.4 MAGNITUD MELANDA SHANDONG

BEIJING: Gempa bumi berukuran 5.4 magnitud menggegar Shandong, awal pagi tadi, dengan media negara itu melaporkan sekurang-kurang 21 mangsa cedera dan lebih 100 bangunan runtuh.

Rakaman video dikongsikan dalam media sosial menunjukkan keadaan objek bergoncang, tanah bergegar dan penduduk bergegas keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri, manakala runtuhan batu-bata bertaburan.

Menurut agensi Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku jam 2.33 pagi di 26 kilometer (km) selatan bandar Dezhou di wilayah Shandong, pada kedalaman 10km.

“Gegaran begitu kuat… ketika gempa bumi itu, kepala saya bergoncang di atas bantal dan saya menyangka sedang bermimpi buruk,” kata seorang pengguna dalam hantaran melalui platform media sosial Weibo, dari Hebei yang juga wilayah jiran Shandong.

Sistem PAGER bawah USGS, yang menyediakan penilaian awal impak gempa bumi, mengeluarkan amaran merah – menjangka kemungkinan ada kerosakan besar dan beberapa mangsa berdasarkan data gempa bumi sebelum ini.

Stesen penyiaran CCTV memetik pihak berkuasa Shandong berkata, sekurang-kurang 21 orang mengalami kecederaan dan 126 kediaman atau bangunan runtuh akibat gempa bumi berkenaan yang diikuti 52 gempa susulan.

Agensi berita Xinhua pula melaporkan Kementerian Pengurusan Kecemasan China melancarkan tindak balas kecemasan tahap empat dan mengerah pasukan penyelamat ke wilayah Shandong.

Rakaman disiarkan CCTV menunjukkan anggota penyelamat di sekitar kawasan khemah bantuan kecemasan yang didirikan di padang sukan sebuah sekolah, manakala beberapa bangunan sekelilingnya dilihat tidak mengalami kerosakan.

“Hanya bangunan tertentu yang sudah usang dan tidak berpenghuni runtuh. Beberapa dinding pagar halaman juga runtuh dan mengalami kerosakan,” menurut laporan CCTV.

CCTV juga melaporkan infrastruktur bekalan air dan komunikasi masih berfungsi seperti biasa di kawasan terbabit, namun ratusan perkhidmatan kereta api tergendala setakat pagi ini.

Gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke Beijing dan Tianjin, begitu juga di Shanghai yang terletak kira-kira 800km dari pusat gempa.

“Saya hilang kata-kata… ia menakutkan,” kata seorang lagi pengguna Weibo.

Gempa bumi bukanlah kejadian asing di China, namun ia jarang melanda bahagian timur negara ini yang menempatkan sebahagian besar populasi dan bandar besar.

Pegawai Biro Seismologi Shandong memaklumkan, kemungkinan untuk berlaku gempa bumi lebih besar adalah ‘sangat kecil’, menurut laporan media tempatan. – AFP, BH Online.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here