Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Walaupun ramai nelayan yang memilih menggunakan bot jenis fiber untuk turun ke laut, namun bagi Ramli Mat, dia tetap memilih untuk menggunakan perahu kolek untuk mengekalkan seni tradisional perahu tersebut.
Ramli berkata perahu tersebut menggunakan kos bahan api lebih jimat ketika menangkap ikan di laut berbanding bot fiber.

“Saya sudah menanti selama empat tahun untuk menggunakan perahu kolek baharu ini.
“Perahu ini adalah perahu kedua yang mula dibina sejak tahun 2021 di Ban Tong, Narathiwat, Thailand dan kini hanya menunggu proses ukiran siap sepenuhnya,”katanya.
Ramli berkata perahu kolek miliknya itu dibina dengan menggunakan 100 peratus kayu jenis Chengal Batu yang dibeli dan dikumpul secara perlahan-lahan sejak tahun 2019.
Menurutnya, pembinaan perahu kolek miliknya yang sepanjang 10meter itu menelan belanja hampir RM80,000.
Katanya, walaupun harga perahu tersebut agak mahal, namun dia berpuas hati kerana perahu tersebut hampir siap sepenuhnya dan tidak sabar untuk digunakan bagi menangkap ikan.

“Dari segi ukiran pula, saya menggunakan khidmat tukang ukir atau sobek dari Thailand.
“Saya memilih motif bunga jawa dan naga untuk dicorakkan pada badan perahu itu kerana tertarik dengan keunikannya,”katanya.
Tambahnya walaupun kini sudah tidak ramai nelayan menggunakan perahu kolek, namun dia berharap tradisi tersebut dapat dikekalkan terutama generasi muda.
Ramli berkata perahu kolek miliknya juga akan dijadikan bot persiaran untuk orang ramai bagi menyusuri sungai Kelantan setiap hari Sabtu.
IMedikel TV






