Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Penganjuran KB Half Marathon (KBHM) 2025 mencatatkan sejarah baharu apabila jumlah penyertaan meningkat daripada 2,055 peserta tahun lalu kepada 3,142 orang pada edisi kali ini.
Exco Belia, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhammad, berkata peningkatan tersebut membuktikan sambutan masyarakat terhadap acara berprestij itu semakin memberangsangkan.
“Laluan 21 kilometer(km) dan 10km diukur secara rasmi oleh World Athletics, sekali gus membolehkan catatan masa digunakan sebagai kelayakan ke kejohanan antarabangsa.
“Tahun ini juga, KBHM berdaftar sebagai ahli Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), menjadikannya antara 11 acara sahaja di Malaysia yang mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya dalam perkongsian di media sosial, semalam.
Beliau berkata, penganjuran tahun ini bertemakan Merah, Putih, Hitam turut memperkenalkan kempen “Indahnya Kelantan – Runcation” bagi menggabungkan aktiviti larian dengan percutian.
“Hotel-hotel di sekitar Kota Bharu dipenuhi dipenuhi pelari yang berkunjung ke sini.
“Secara langsung, kita dapat lihat aliran ekonomi masuk ke negeri ini apabila mereka singgah ke kedai makan serta membeli barangan tempatan,” katanya.
Menurut Zamakhshari, acara tersebut selaras dengan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) yang menekankan aspek kesihatan menyeluruh anak muda, selain mendukung agenda Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menitikberatkan penjagaan diri, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur utama Yayasan KB Care dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan, rakan strategik, agensi keselamatan, sukarelawan, pihak media serta penaja yang memastikan kelancaran program.
“Kerajaan negeri menyokong usaha mengangkat KB Half Marathon sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih luas daripada belia, komuniti larian dan NGO tempatan,” katanya.
IMedikel TV






