SEOUL: Penyanyi yang juga bekas anggota kumpulan 4minute, Heo Gayoon, baru-baru ini muncul dalam segmen YouTube To Be Honest yang dihoskan Yeom Mi Sol.
Memetik laporan Berita Harian, dalam sesi itu, Gayoon yang kini menetap di Bali, Indonesia meluangkan masa untuk membincangkan mengenai esei tulisannya berjudul On the Most Unfamiliar Ocean, I Became Me.
Dia turut berkongsi mengenai perjalanan hidupnya sebagai seorang penyanyi idola, pelakon dan kemudiannya sebagai seorang penulis.
“Ada satu masa semasa zaman idola saya, keadaan saya tidak begitu baik. Ketika itu, seorang ahli kumpulan, Jiyoon, memberitahu saya perlukan rehat dari segi mental dan fizikal.
“Jadi kami pergi ke Bali bersama-sama. Selepas itu, saya terus jatuh cinta dan kini di sinilah saya,” katanya dan mendedahkan sudah menetap di pulau terkenal di Indonesia itu selama kira-kira dua tahun.
Kehidupan di pulau peranginan itu ternyata memberikan kesan positif yang besar kepada kesihatan fizikal dan mentalnya.
Keputusannya pindah Bali berjaya menyembuhkan beberapa penyakit yang dialaminya ketika itu, termasuk insomnia dan bulimia.
Dalam pada itu, Gayoon turut menjelaskan bahawa dia sebenarnya tidak meninggalkan industri hiburan untuk selama-lamanya.
“Bukannya saya sudah berputus asa. Cuma saya sudah belajar untuk melepaskan. Saya rasa perkataan yang anda gunakan boleh mengubah cara anda menerima sesuatu situasi.
“Dahulu saya fikir jika saya berhenti menjadi penyanyi, maka saya dianggap sudah mengalah,” katanya.
Gayoon menegaskan ramai orang bertanya sama ada dia sudah bersara dan sentiasa memberikan jawapan yang sama.
“Saya selalu menjawab bahawa saya sedang berehat. Mungkin akan tiba masanya membuat keputusan untuk kembali semula. Tetapi saya tidak mempunyai sebarang keterikatan lagi dengan kehidupan di bandar.
“Saya hanya mahu menjalani kehidupan yang biasa,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






