Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUCHING: Seramai 79 warga asing ditahan dalam serbuan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak melalui pelaksanaan Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan dua hari bermula 22 Ogos hingga semalam.
Menurut kenyataan di laman Facebook JIM, serbuan yang bermula jam 11 malam hingga 2 pagi itu menyasarkan lima rumah sewa di sekitar Lorong Batu Kawa dan Matang yang dipercayai dijadikan markas kegiatan judi atas talian, serta sebuah premis hiburan malam di pusat bandar raya Kuching.
“Dalam pemeriksaan terhadap 93 individu, seramai 73 lelaki Indonesia, seorang wanita Vietnam dan lima wanita Filipina ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas lawatan,”menurut kenyataan itu semalam.
Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut kenyataan operasi bersepadu itu adalah hasil aduan awam dan risikan pegawai penguat kuasa, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyalahgunaan pas lawatan.
JIM Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas maklumat yang disalurkan dan menyeru agar kerjasama masyarakat diteruskan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
IMedikel TV






