Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DIREMPUH DUA KERETA 

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DIREMPUH DUA KERETA 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang lelaki berusia 48 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta di Jalan Kebakat–Bunut Sarang Burung (Jalan Kebun Dusun, Kebakat), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten komisioner,  ACP Mohd Khairi Shafie  berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki RC100 dilaporkan dalam perjalanan dari arah Bunut Sarang Burung menghala ke Kebakat. 

“Apabila sampai di lokasi kemalangan iaitu di Jalan Kebun Dusun, mangsa yang menunggang motosikal berada di tengah laluan utama untuk membelok ke simpang kanan.

“Sebelum sempat membelok memasuki simpang berkenaan sebuah motokar Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki datang dari arah yang sama telah terlanggar pada bahagian belakang bakul tambahan motosikal mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa telah terjatuh di laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah motokar jenis Suzuki Swift yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah bertentangan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat, Inspektor Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-725 7222 atau hadir ke Pejabat Trafik IPD Tumpat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here