Home Buletin Semasa KASTAM KELANTAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 210,000 BATANG ROKOK PUTIH DI TUMPAT

KASTAM KELANTAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 210,000 BATANG ROKOK PUTIH DI TUMPAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan penyeludupan rokok putih menerusi Operasi Kawal Delta 2025 yang dijalankan pada 4 dan 5 Disember lalu di kawasan Pulau Tengkorak dan pesisir Pantai Genting Pengkalan Kubor, di sini.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Pasukan Operasi Marin, Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor itu membawa kepada rampasan 210,000 batang rokok putih seludup.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM200,970.

“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi tersebut menggunakan kawasan pulau dan pantai yang terpencil sebagai lokasi pendaratan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,’katanya.

Sehubungan itu, JKDM menyeru orang ramai agar terus membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan terlarang lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here