Home Hiburan FIKIRAN SAYA KOSONG – ZARA ZYA

FIKIRAN SAYA KOSONG – ZARA ZYA

KUALA LUMPUR: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Aktres, Zara Zya, 40, baru-baru ini mengejutkan peminat apabila mengakui disahkan menghidap kanser buah pinggang atau renal cell carsinoma tahap satu, sesuatu yang tidak pernah dijangka terjadi.

Memetik laporan Berita Harian, Zara mengakui menempuhi fasa sukar dalam hidup, namun keadaan itu tidak menghalangnya terus melakukan rutin harian dan menguruskan karier seni.

Zara atau nama sebenar, Nur Zara Zya Abdul Rahman, berkata dia mula menyedari sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya apabila mengalami perubahan fizikal ketara sejak beberapa bulan lalu.

“Pada mulanya, saya rasa cepat penat. Kemudian hidung kerap berdarah dan rasa berdenyut belakang pinggang. Saya rasa macam ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada BH Online.

Mengimbas detik dimaklumkan mengenai diagnosis itu, Zara mengakui terkejut, namun berusaha menenangkan diri.

“Ketika itu, fikiran saya kosong, tidak fikir apa-apa,” katanya mengimbau detik dimaklumkan menghidap kanser buah pinggang tahap satu.

Zara berkata, selepas mendapatkan pandangan doktor, rawatan yang perlu dilaluinya setakat ini tidak membabitkan prosedur agresif, sebaliknya hanya rawatan susulan dan pengambilan ubat mengikut saranan doktor.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang tempoh rawatan, pelakon drama Hati Tercarik Luka itu menjelaskan dia tidak berdepan kesukaran besar dari segi mental atau emosi, cuma perubahan fizikal seperti mudah letih.

“Kalau nak kata cabaran itu tak ada pun. Cuma penat. Selain itu, saya okay sahaja,” ujarnya.

Zara berkata, keadaan kesihatannya juga tidak memberi kesan besar terhadap rutin harian mahupun kerjaya seni kerana dia masih mampu bekerja seperti biasa walaupun perlu mengawal tahap tenaga diri.

“Setakat ini, saya masih boleh bekerja dengan baik. Cuma kena lebih jaga diri sebab cepat penat,” katanya.

Menyentuh soal emosi, Zara mengakui sukar untuk dihuraikan kerana pengalaman itu bersifat peribadi dan mungkin tidak difahami sepenuhnya oleh orang lain.

“Kalau bercakap soal emosi, orang mungkin tidak faham. Jadi. saya lalui saja kehidupan macam biasa,” katanya.

Zara bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan industri kreatif yang sentiasa berada di sisi sepanjang melalui fasa rawatan.

“Keluarga yang menjadi tulang belakang kekuatan saya, mereka sangat positif dan layan saya dengan baik. Ramai juga rakan artis lain turut beri sokongan dan mendoakan saya… Alhamdulillah,” katanya.

Zara bagaimanapun memilih untuk tidak tampil memberi nasihat kepada pesakit lain yang melalui situasi sama, sebaliknya, menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah.

“Saya fikir diri ini tidak layak hendak beri nasihat sebenarnya. Apa-apapun, jalani sahaja kehidupan yang Allah tetapkan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkongsian di platform Threads, Zara Zya memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap satu, selain menasihati orang ramai tidak mengabaikan sebarang isyarat yang diberikan oleh tubuh.

Zara sebelum ini pernah mendedahkan pernah bergelut dengan masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan arthritis.

Dalam perkongsian TikTok, Zara mendedahkan sering menerima mesej daripada individu yang menjadikan penyakit dihidapinya sebagai bahan gurauan.

Zara mengakui terasa dengan perbuatan itu, namun memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Ada sahaja yang hantar mesej langsung (DM), berbunyi seperti, hai, seronokkah ada kanser? Selepas ini masuk hospital pula.

“Saya terus sekat biarpun jauh dalam diri, saya kecil hati. Namun, hendak buat macam mana? Saya kena lalui hidup sebaik mungkin sebab saya selebriti.

“Ada juga yang mengidolakan saya. Jadi, saya kena tunjuk diri ini kuat,” katanya yang mengakui melakukan pelbagai perkara bagi menghilangkan rasa sedih sebaik menyedari dirinya pesakit kanser.

Zara berkata, fasa bersedih, berkurung dalam bilik dan tidak berjumpa orang lain sudah berlalu.

“Jadi, ini adalah masa untuk saya bangkit. Macam-macam yang saya buat sekarang. Antaranya berniaga pelbagai makanan dan barangan.

“Semua ini beri saya kekuatan untuk lupakan apa yang buat diri sedih, rendah diri, tidak berguna dan sebagainya.

“Saya harap masih dapat beri inspirasi kepada semua orang,” katanya yang tidak menyangka hantaran berkaitan kepentingan penjagaan diri tular hingga ramai pengikut mendoakan kesihatannya.

Zara turut meminta orang ramai tidak memandang rendah dan melemparkan pandangan negatif terhadap individu yang berjuang melawan kanser.

“Alhamdulillah untuk kesihatan saya, macam-macam yang saya lalui. Tetapi, bagi saya, itu hanyalah fasa kehidupan yang harus lalui sebagai manusia.

“Selagi awak semua boleh tengok saya bekerja, berdiri, bercakap dan bercerita macam sekarang, bagi saya diri ini okay sahaja.

“Itu adalah kekuatan saya, jangan pandang rendah pada orang yang seperti saya,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here