Home Buletin Semasa PENTERNAK KELANTAN GUSAR LARANGAN JPV

PENTERNAK KELANTAN GUSAR LARANGAN JPV

160
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penternak di negeri ini membantah keputusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kelantan yang melarang pemindahan ternakan dari premis dalam radius 2 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand yang memberi kesan kepada 80 penternak.

Wakil penternak, Dr Asran Alias berkata larangan itu turut memberi kesan langsung kepada lebih 30 penternak di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli kerana ladang mereka berdekatan kawasan sempadan.

“Larangan itu menyebabkan penternak tidak dapat menjual ternakan yang dipelihara dengan sah.

“Kami menerima surat tersebut pada 12 Januari lalu yang berkuat kuasa serta merta,”katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau yang hadir bersama peguam, Hisham Fauzi turut menyatakan jika keadaan itu berterusan penternak Kelantan akan terus mengalami kerugian yang besar akibat dasar yang tidak adil itu.

Menurutnya penternak bersedia mengadakan perbincangan bersama pihak JPV bagi mencari jalan penyelesaian mengenai perkara itu.

“Kami menggesa agar larangan itu ditarik balik kerana ia tidak berasakan fakta saintifik dan bertentangan dengan prosedur rasmi.

“Jika benar terdapat risiko penyakit, mengapa tiada laporan makmal atau ujian PCR atau ELISA yang membuktikannya? Jika hanya berdasarkan ukuran geografi, keputusan ini tidak sah kerana peraturan rasmi menetapkan bahawa diagnosis Penyakit Kuku dan Mulut (HFMD) hanya boleh disahkan melalui ujian makmal sahaja,”katanya.

Jelasnya sekiranya larangan tersebut tidak ditarik balik dan tiada tindakan susulan diambil dalam tempoh dua minggu, penternak tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil terhadap pihak berkaitan bagi menuntut ganti rugi atas kerugian yang dijangka berlaku.

“Kami juga sudah menghantar memorandum bantahan bertarikh 24 Februari lalu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komodi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,”katanya.

Sementara itu, Hisham berkata keputusan itu dibuat tanpa kajian menyeluruh dan bercanggah dengan Protokol Veterinar Malaysia Jilid Ketiga (PVM1/(9):3/2022) yang dikeluarkan oleh JPV Malaysia.

“Implikasi yang dikeluarkan oleh JPV Kelantan sangat besar dan meluas. Sebab kalau kita melihat dari segi sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sepanjang 95 kilometer, selepas itu ambil pula radius 2 kilometer.

“Jadi, berapa ramai pernternak yang terlibat? Dan sudah tentu ia memberi kesan ekonomi yang bukan sedikit. Bukan sekadar akan merugikan penternak-penternak di 95 kilometer sepanjang sempadan Kelantan-Thailand tetapi ia juga akan menyebabkan masyarakat mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan daging lembu dan secara tidak langsung kenaikan harga barang akan berlaku,”katanya.

Jelasnya penternak juga bersedia untuk berjumpa dengan pihak terbabit bagi membincangkan dan mendapatkan penjelasan mengenai keputusan yang dikeluarkan, namun masih tiada sebarang jawapan.

“Cuma kalau tidak ada sebarang maklum balas yang positif, mungkin kita terpaksa bawa ke mahkamah untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pihak JPV Kelantan melanggar garis panduan mereka sendiri,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here