STUTTGART: Gol dari Michael Olise, Leon Goretzka, dan Kingsley Coman membawa Bayern Munich ke kemenangan 3-1 di Stuttgart sekali gus memberikan mereka kelebihan 11 mata di puncak Bundesliga dengan 10 perlawanan lagi.
Kemenangan Bayern, yang juga kejayaan ke-9 dari 10 perlawanan liga terakhir mereka, meletakkan gergasi Jerman itu di landasan yang tepat untuk merampas kembali gelaran dari Bayer Leverkusen.
Leverkusen boleh mengurangkan jurang kepada lapan mata dengan kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt.
Bayern dan Bayer akan bertemu pada perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara mereka di Munich pada hari Rabu.
Stuttgart memulakan perlawanan dengan baik dan berjaya mendahului selepas 34 minit melalui gol luar biasa daripada Angelo Stiller.
Namun, pelawat membalas tepat sebelum separuh masa apabila Olise berjaya mengatasi perangkap offsaid, menerima hantaran Leroy Sane dan menjaringkan gol.
Dengan perlawanan dalam keadaan seimbang pada awal separuh masa kedua, Goretzka menggunakan kekuatannya untuk memaksa Stuttgart melakukan kesilapan, merampas bola dari Stiller sebelum merempuh masuk ke dalam kawasan penalti dan memberi Bayern pendahuluan.
Coman menambah gol ketiga pada masa tambahan untuk menutup kemenangan.
“Saya menikmati kemenangan ini,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany kepada DAZN, sambil menyatakan “mereka lebih baik daripada kami pada permulaan, tetapi kami semakin berkembang dalam perlawanan dan berbahaya pada separuh masa kedua.
Ditanya sama ada gelaran liga akan kembali ke Munich, Kompany berkata, mereka belum memenangi apa-apa lagi namun melakukan banyak perkara dengan betul.
Goretzka pula memberitahu DAZN, “Ia kerja keras. Kami tidak memulakan dengan baik tetapi kami tetap tenang – dan akhirnya kami layak untuk menang.”
Satu isu bagi Bayern ialah kecederaan yang dialami Alphonso Davies, yang terpaksa keluar kerana cedera pada penghujung perlawanan.
“Faktanya, kami membuatkan pasukan lain mudah untuk menjaringkan gol…ia rasa pahit sekarang,” kata Stiller kepada DAZN sambil memohon maaf atas kesilapannya.
Seperti yang sering dilakukan musim ini, pasukan Vincent Kompany melakukan cukup untuk melalui perlawanan tempoat lawan yang sukar, kerana mereka cuba kembali ke landasan kemenangan selepas kali pertama dalam 11 tahun musim lalu mereka tidak memenangi sebarang trofi.
Dengan perlawanan Liga Juara-Juara yang penting hanya beberapa hari lagi, Bayern menamakan kesebelasan utama terkuat dengan Harry Kane kembali beraksi selepas hanya bermain sebagai pemain gantian minggu lalu akibat kecederaan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






