Home Segmen Kesihatan PENJAGAAN KESIHATAN MULUT BAGI PESAKIT KANSER

PENJAGAAN KESIHATAN MULUT BAGI PESAKIT KANSER

229
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Menjaga kebersihan mulut adalah sangat penting bagi pesakit kanser, termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan seperti kemoterapi, radioterapi, atau pengambilan ubat seperti imatinib untuk chronic myeloid leukemia (CML).

Rawatan kanser boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan kesan sampingan yang mempengaruhi kesihatan mulut.

Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Khuzaimah Kamarazaman berkata, kemoterapi dan radioterapi khusus pada bahagian kepala dan leher boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kaviti oral yang juga dikenali sebagai komplikasi oral dan boleh berlaku secara akut atau kronik.

“Kemoterapi merupakan kaedah rawatan yang menggunakan satu atau lebih ubat sitotoksid dan ubat ini diberi kepada pesakit secara suntikan terus ke dalam saluran darah atau diberi secara oral dalam bentuk tablet atau cecair.

“Manakala, rawatan radioterapi pula dilakukan dengan menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi yang disasarkan terus kepada ketulan tumor untuk membunuh sel kanser.

“Kedua-dua rawatan ini membunuh sel kanser yang bersifat cepat membahagi kerana ubat sitotoksid kemoterapi yang beredar dalam aliran darah ke seluruh bahagian tubuh bukan sahaja boleh membunuh sel kanser, tetapi juga merosakkan sel normal yang juga bersifat cepat membahagi seperti sel mukosa mulut, usus, gonad dan sumsum tulang,” katanya.

Menurutnya, rawatan radioterapi pada bahagian kepala dan leher merupakan rawatan utama bagi merawat kanser oral selain daripada pembedahan.

Katanya dalam rawatan itu, sel normal yang terdapat di kawasan terapi juga akan turut menerima radiasi tersebut dan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan terhadap sel dan struktur dalam mulut pesakit.

“Antara komplikasi oral akut yang sering berlaku ialah mukositis (keradangan mukosa mulut) dan secara amnya ia muncul sebagai tompok kemerahan atau ulser pada mukosa mulut.

“Mukositis yang teruk boleh menyebabkan kesakitan sehingga menjejaskan pengambilan diet harian pesakit dan sesetengah pesakit juga akan mengalami kesakitan melampau sehingga perlu mengambil ubat ‘analgesik’,” katanya.

Tambahnya, komplikasi akut seterusnya adalah kekeringan mulut (xerostomia) kerana ubat kemoterapi dan radiasi boleh merosakkan sel kalenjar air liur.

“Penghasilan air liur akan berkurang dan komposisi air liur terjejas menyebabkan pesakit mengalami xerostomia.

“Selain itu, keadaan mulut yang kering turut menyumbang kepada masalah nafas berbau, kesakitan mulut, masalah pertuturan, kesukaran untuk menelan, karies gigi dan masalah pelekatan gigi palsu bagi pesakit yang memakai gigi palsu,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ubat kemoterapi boleh memberi kesan tindasan-imuno di mana pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan oportunistik di dalam mulut dan pendarahan gusi.

“Antara komplikasi kronik yang sering berlaku adalah osteonekrosis (kematian tisu tulang), kecatatan rangka muka dan anomali gigi serta bukaan mulut terhad (trismus).

“Komplikasi ini sering berlaku kepada pesakit kanser kanak-kanak yang menerima radiasi dos tinggi pada bahagian kepala dan leher di usia lebih kurang lima tahun,” katanya.

Bukan itu sahaja, menurutnya selain kesakitan, komplikasi mulut boleh menyebabkan kualiti hidup pesakit terjejas dan memberi implikasi kewangan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan secara am dan kepada pesakit serta keluarga secara khususnya.

“Komplikasi mulut yang serius juga boleh mengganggu kemajuan terapi kanser termasuk mengakibatkan pengurangan dos ubat atau radiasi dan penangguhan atau pemberhentian terapi sama sekali.

“Terdapat beberapa langkah penjagaan kebersihan dan kesihatan mulut yang harus diambil untuk mengurangkan kesan sampingan supaya fungsi mulut seperti makan dan bertutur dapat dikekalkan serta kualiti hidup pesakit kanser dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi pada bahagian kepala dan leher menjalani pemeriksaan mulut yang menyeluruh dan mendapatkan rawatan pergigian yang diperlukan sebelum menjalani rawatan kanser yang ditetapkan.

“Semasa pemeriksaan, doktor gigi akan mengenal pasti penyakit mulut yang sedia ada dan potensi risiko penyakit mulut, melakukan rawatan penyakit mulut yang sedia ada dan memaklumkan kepada pesakit atau penjaga tentang kesan sampingan terapi yang mungkin berlaku serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pesakit tentang cara menghadapi dan mengurangkan kesan sampingan.

“Di samping itu, doktor gigi juga akan memberi nasihat berkaitan rutin dan kaedah penjagaan kebersihan mulut serta pengambilan diet yang sesuai dan amat disarankan agar pemeriksaan mulut yang menyeluruh dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja diagnosis kanser dibuat atau sekurang- kurangnya sebulan sebelum terapi kanser dimulakan.

“Hal ini bagi memastikan doktor gigi mempunyai masa yang cukup untuk melakukan rawatan pergigian yang diperlukan dan memberi masa untuk proses penyembuhan serta pemulihan mukosa mulut jika pesakit perlu menjalani prosedur pergigian invansif seperti pencucian akar gigi (root planing), cabutan gigi atau pembedahan kecil mulut,” katanya.

Khuzaimah turut menerangkan bahawa ketika terapi kanser dijalankan, hanya rawatan kecemasan pergigian berdasarkan simptom sahaja yang akan diberikan kepada pesakit.

“Pemeriksaan mulut susulan secara berkala selepas pesakit menjalani terapi adalah penting untuk merawat, memulihkan dan memantau pesakit yang telah mengalami kesan sampingan.

“Antara rutin penjagaan kesihatan mulut pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi pada bahagian kepala dan leher ialah pengawalan plak dengan memberus dan menflos gigi, pendedahan kepada sumber fluorida, pengambilan diet seimbang dan kariostatik serta pemeriksaan gigi secara berkala.

“Pemeriksaan pergigian pesakit kanser perlu dilakukan secara berkala
sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk mencegah, mengesan dan merawat komplikasi mulut,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here