Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Susulan kes penahanan enam rakyat Malaysia di Selatan Thailand berhubung kesalahan dadah Jumaat lalu, menndapat perhatian pelbagai pihak.
Peguambela & Peguamcara, Mohd Ridzuan Muhamad, dalam suatu kenyataan berkata undang-undang dadah di Thailand berbeza dengan Malaysia terutamanya dalam aspek penguatkuasaan.
“Undang-undang Thailand yang membabitkan kesalahan dadah dalam aspek penguatkuasaan dan tempoh reman memang berbeza.
“Di Thailand, kes yang melibatkan kuantiti dadah yang besar, khususnya yang melibatkan warga asing, sering kali diberikan tempoh reman yang panjang.
“Ini bertujuan untuk memastikan siasatan yang rapi dapat dilakukan sebelum kes dibawa ke mahkamah. Sebaliknya, Malaysia turut mempunyai undang-undang dadah yang tegas di mana sebahagiannya ada termaktub di dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya dalam kenyataan, semalam.
Manakala jika di Malaysia, menurutnya untuk tatacara reman bagi suspek yang disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB biasanya Pegawai Penyiasat dibenarkan untuk memohon reman bawah S.117 (2)(b) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dengan permohonan pertama boleh sampai sehingga tujuh (7) hari pertama dan boleh juga disambung reman sehingga (7) hari berikutnya atas keizinan Tuan Majistret.
“Peruntukkan tempoh reman ini adalah sedemikian kerana jelas bahawa jika kes yang disiasat memperuntukkan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup atau hukuman Penjara yang boleh sampai empat belas tahun dan ke atas, maka Seksyen 117(2)(b) KTJ adalah terpakai.
“Untuk kes ini, kita perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa Thailand untuk menjalankan siasatan mereka tanpa gangguan. Tempoh reman selama 84 hari yang diberikan menunjukkan komitmen pihak berkuasa Thailand untuk menyiasat kes ini dengan terperinci sebelum pendakwaan. Ini penting bagi memastikan semua bukti yang relevan dikumpulkan dengan cermat,”katanya.
Jelasnya, beliau mengingatkan masyarakat bahawa prinsip asas undang-undang yang mantap ialah setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh Mahkamah.
“Oleh itu, kita perlu menghormati hak-hak suspek dan mengelakkan daripada membuat andaian awal yang boleh mempengaruhi persepsi umum. Prinsip ini dijamin oleh semua perundangan dunia termasuk juga negara jiran kita Thailand bagi menjalankan prosiding di Mahkamah mereka juga.
“Saya juga memohon kepada semua pihak termasuk netizen agar menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga suspek. Sebarang spekulasi atau komen yang tidak wajar di media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi yang tidak diperlukan kepada ahli keluarga yang tidak bersalah. Marilah kita bersama-sama menghormati hak dan perasaan keluarga suspek dalam tempoh yang mencabar ini,”katanya.
IMedikel TV






