SANTIAGO: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha yang mencuri tumpuan pada Piala Dunia 2026, mencapai persetujuan untuk menyertai kelab Chile, Colo Colo, kata Presiden kelab, Anibal Mosa.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, penjaga gol berusia 40 tahun itu dijangka berlepas ke Chile dalam masa terdekat bagi menjalani pemeriksaan perubatan sebelum diperkenalkan secara rasmi di Stadium Monumental.
“Vozinha akan menjadi pemain Colo Colo. Dalam beberapa hari lagi dia akan tiba di Chile, menjalani pemeriksaan perubatan seperti biasa sebelum diperkenalkan secara rasmi di Stadium Monumental,” kata Mosa kepada media.
Menurut Mosa, aksi cemerlang Vozinha di Piala Dunia membuktikan dia layak menyertai kelab gergasi Chile itu, selain mengakui kehadirannya turut memberi nilai komersial kepada pasukan.
Walaupun perpindahan itu belum dimuktamadkan, Colo Colo sudah memberi bayangan mengenai ketibaan penjaga gol berkenaan menerusi media sosial dengan memuat naik imej yang memaparkan rambut kerinting ikonik miliknya.
Vozinha yang berstatus ejen bebas selepas meninggalkan kelab divisyen dua Portugal, Chaves, sebelum Piala Dunia muncul antara kejutan terbesar kejohanan apabila membantu Cape Verde, yang membuat penampilan sulung, mengikat juara dunia Sepanyol tanpa jaringan pada peringkat kumpulan.
Dia turut memainkan peranan penting membawa Argentina, yang akhirnya muncul naib juara, sehingga ke masa tambahan pada pusingan 32 terbaik.
Aksi cemerlang itu menyaksikan Vozinha dipilih peminat ke dalam kesebelasan impian Piala Dunia kendalian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






