JAKARTA: Pihak berkuasa mencari dan menyelamat Indonesia pada Jumaat menggantung operasi mencari 14 individu yang masih hilang selepas bot penumpang KM Nurul Salsa karam di perairan Wilayah Sulawesi Selatan, lapor Xinhua.
Memetik laporan Bernama-Xinhua menerusi Harian Metro, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) memaklumkan operasi itu digantung sementara selepas usaha pencarian selama 10 hari tidak menemukan sebarang petunjuk baharu, walaupun semua kawasan pencarian yang ditetapkan diperiksa secara menyeluruh.
Daripada 76 individu yang disahkan berada di dalam bot berkenaan, 58 berjaya diselamatkan, empat ditemukan maut, manakala 14 lagi masih belum ditemukan, menurut agensi itu.
Agensi berkenaan berkata, operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula sekiranya terdapat maklumat baharu yang menunjukkan mana-mana mangsa yang hilang dikesan.
Bot itu karam selepas mengalami kerosakan enjin di perairan Sulawesi Selatan pada 15 Julai ketika dalam perjalanan dari Pulau Jampea ke Benteng.-Bernama-Xinhua, HMetro Online-
IMedikel TV






