Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Punca berlakunya penyeludupan barangan asas ke Thailand secara berterusan mungkin disebabkan oleh pengilang dan pemborong yang bersubahat melakukan kegiatan tersebut.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata penyeludupan barangan asas terutama minyak masak dalam kuantiti yang besar sering berlaku kerana barang tersebut dijual dengan harga murah di Kelantan dan mendapat permintaan yang sangat tinggi di Thailand.
“Kemungkinan ada pengilang dan pemborong yang subahat kerana harga minyak masak di negara kita RM2.50 dan dijual pada RM4.50 di Thailand, jadi mereka akan dapat keuntungan yang sangat besar.
“Bagaimanapun, pihak kita sentiasa membuat pemantauan terhadap 18 syarikat pembungkusan minyak masak di negeri ini selain bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mengekang penyeludupan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di premis pemborong di Wakaf Bharu, di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, PGA merampas penyeludupan 13,000 kg gula dan 5,100 paket minyak masak dalam kejadian berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Wakaf Bharu di sini.
IMedikel TV






