Home Buletin Semasa PENGARAH SYARIKAT MENGAKU TIDAK BERSALAH SELEWENG DISEL

PENGARAH SYARIKAT MENGAKU TIDAK BERSALAH SELEWENG DISEL

200
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pasangan suami isteri juga pengarah di sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menyeleweng lebih 15,000 liter diesel dengan jumlah lebih RM34,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kim Soon, sebagai pengarah 1 syarikat dan isterinya Koh Sze Yuen, sebagai pengarah 2 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, kedua-dua tertuduh yang juga pengarah syarikat Heng Seng dan Company didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu 15,979 liter diesel tanpa lesen sah di hadapan stesen Jabatan Pengangkutan Jalan Laloh, Kuala Krai, kira-kira jam 7 petang, 7 Ogos 2022.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Dahlia Tan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi sehingga RM100,000 terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan ketirisan diesel yang sedang berlaku di negara ini selain melibatkan kepentingan awam.

Pihak pendakwaan turut meminta syarat tambahan antaranya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Petaling Jaya, setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Kim Soon diikat jamin sebanyak RM40,000 manakala Sze Yuen sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Sementara itu, Syarikat Heng Seng dan Company turut didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum dua juta ringgit.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 ke atas syarikat berkenaan dan menetapkan sebutan semula pada 8 Ogos depan untuk kesemua kes.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here