MANCHESTER, England: Manchester United menerima tamparan lagi dalam usaha mereka layak ke Liga Juara-Juara lewat malam tadi namun hakikat jiran tetangga Manchester City menjadi pemusnah adalah perkara kedua, kata kapten Bruno Fernandes.
Kekalahan 3-1 United kepada City di Stadium Etihad meninggalkan mereka 11 mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa dengan berbaki 11 perlawanan.
“Setiap kali anda tidak memenangi perlawanan ia satu kemusnahan di kelab ini,” kata Fernandes. “Kami sedar apa yang kelab ini mahukan dan kami mahu menang setiap perlawanan yang kami hadapi.
“Kami tidak dapat tiga mata hari ini tetapi perjalanan masih jauh. Kami sedar ia tidak semuanya berada dalam tangan kami kerana pasukan lain perlu kehilangan mata dan kami perlu melakukan tugas kami dengan sempurna.”
Marcus Rashford memberikan United gol pendahuluan tidak disangka-sangka pada minit kelapan dengan rembatan kencang yang berkelajuan 116 kilometer sejam.
Golnya hadir beberapa hari selepas dia membalas kritikan dalam satu kolum The Players Tribune dan satu-satunya pemain yang menyerlah buat United, yang hanya mempunyai tiga percubaan berbanding City 27.
Kekalahan itu meningkatkan perbualan berterusan mengenai masa depan pengurus Erik ten Hag, yang hanya semakin meningkat sejak pemilik baharu bersama Jim Ratcliffe mengambil alih operasi bola sepak dengan perubahan dijangka di luar padang.
United tumpas 11 daripada 27 perlawanan liga mereka musim ini, lebih dua berbanding keseluruhan musim lalu. Dua musim terdahulu dengan 12 kekalahan liga (2013-14 dan 2021-22) menjurus kepada pemecatan pengurus.
United tidak kalah dalam 143 perlawanan liga terdahulu apabila mendahului ketika rehat dengan 123 kemenangan dan 20 seri – catatan menakjubkan yang berakhir lewat malam tadi.
Ten Hag merujuk kepada hakikat Rashford dan Jonny Evans beraksi dengan kecederaan malam tadi
United turut kehilangan penyerang Rasmus Hojlund, yang menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga berturut-turut sebelum terpaksa diketepikan kerana kecederaan otot selain pemain pertahanan Harry Maguire.
“Jelas sekali mereka berjuang, kebersamaan dan persembahan amat bagus,” kata Ten Hag. “Pada hari lain kami mungkin boleh memenangi perlawanan ini – kemenangan tipis.”
Ten Hag berkata kekalahan 2-1 di tangan Fulham minggu lalu lebih mengecewakan. United tidak kalah dalam lima perlawanan liga berturut-turut sebelum itu.
“Tahun ini kami benar-benar berkembang dan anda perlu kembali meraih mata,” katanya
.
“Setiap pasukan boleh mengalahkan mana-mana pasukan dan perkara boleh berubah sekelip mata. Nombor lima (dalam liga) boleh juga menjadi posisi untuk layak ke Liga Juara-Juara jadi kami perlu berjuang untuk mendapatkannya.”
– REUTERS,BH Online-
Imedikel TV






