Home Sukan FODEN BANTU CITY BANGKIT ATASI UNITED

FODEN BANTU CITY BANGKIT ATASI UNITED

MANCHESTER, England: Phil Foden mengekalkan cabaran Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan dua gol pada babak kedua untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Manchester United di laman sendiri lewat malam tadi.

Rembatan padu Marcus Rashford pada minit kelapan membolehkan United mendahului sekalipun bertentangan dengan arus perlawanan dan kelihatan pelawat mungkin mampu menjejaskan impian City untuk merakam kejuaraan liga kali keempat berturut-turut.

Namun anak buah Pep Guardiola tetap bersabar, menguasai pegangan bola dan akhirnya membuahkan hasil dengan Foden sekali membuktikan betapa berharganya dia kini buat City.

Foden merembat kencang ke penjuru gawang pada minit ke-56 dan penyerang England itu sekali lagi menghasilkan penamat klinikal dengan berbaki 10 minit perlawanan.

Erling Haaland, yang terlepas peluang keemasan pada babak pertama, memastikan mata dengan jaringan lewat susulan kesilapan benteng pertahanan United.

Juara bertahan City, yang tidak kalah 19 perlawanan dalam semua pertandingan, mengumpul 62 mata, satu mata di belakang pendahulu Liverpool yang akan dikunjungi mereka hujung minggu ini.

United, yang mengalami kekalahan ke-11 dalam liga musim ini, kekal di tangga keenam dengan 44 mata.

Rembatan padu Rashford mungkin boleh membenam pasukan bawahan tetapi United kendalian Erik ten Hag tidak dapat berbuat apa-apa dengan cara City mengubah keputusan – memenangi aksi jiran tetangga EPL buat kali pertama selepas bangkit daripada ketinggalan.

City menguasai pegangan bola 74 peratus dan menghasilkan 27 percubaan berbanding United hanya tiga namun di sebalik penampilan pemain berbakat global, anak tempatan Foden menemui sentuhan pemusnah.

Pemain berusia 23 tahun itu menerima penghormatan penonton ketika dia keluar selepas dibentes pada masa kecederaan – penyokong City gembira dengan keupayaan mereka menekan Liverpool dan Arsenal.

“Itulah sasaran saya, untuk bertindak bagus dalam perlawanan besar,” kata Foden, yang kini menyamai rekod peribadinya dengan 11 gol liga semusim.

“Musim ini saya membuktikannya.”

– REUTERS,BH Online –

I medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here