Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pemandu van persendirian Thailand memperoleh pendapatan sehingga RM30,000 sebulan hasil membawa penumpang dari negara jiran ke Malaysia tanpa Permit Peredaran Antarabangsa (ICP).
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, van tersebut membawa penumpang dari Thailand di pintu sempadan empat negeri termasuk Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak serta menetapkan tambang sekitar RM70 hingga RM150 seorang untuk perjalanan sehala.
“Pemandu ini mengambil dan menghantar penumpang kira-kira lima ‘trip’ seminggu yang terdiri daripada pekerja kedai Tomyam dari sempadan Malaysia Thailand ke Lembah Klang dan sehingga ke Johor.
“Mereka juga sudah mempunyai penumpang tetap dengan modus operandi yang digunakan adalah membawa penumpang itu dan meninggalkan mereka di pintu sempadan, kemudian mengambil semula penumpang itu selepas jarak dua kilometer,” katanya pada sidang media Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Tambah beliau, lebih 1,000 van dari Thailand masuk melalui pintu masuk sempadan di empat negeri berkenaan.
“Kita telah melaksanakan Ops Tunggak Kenderaan Thailand bermula 16 Januari hingga hari ini, lebih 80 buah van Thailand termasuk 13 di Kota Bharu disita atas kesalahan tiada ICP, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan pamer ICP tidak mengikut kehendak yang ditetapkan.
“Kita dapati aktiviti ini sudah keterlaluan, jadi kita mengambil tindakan tegas,” katanya.
Jelas beliau, terdapat sebuah van Thailand yang memiliki 45 saman tertunggak dengan jumlah saman RM14,000.
IMedikel TV






