Home Buletin Semasa MAIK SALUR LEBIH RM50,000 PERKASA KELAS PENGAJIAN AL-QURAN BRAILLE PERTIS KELANTAN

MAIK SALUR LEBIH RM50,000 PERKASA KELAS PENGAJIAN AL-QURAN BRAILLE PERTIS KELANTAN

194
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan sumbangan peralatan bernilai RM50,660 bagi memperkasakan Kelas Pengajian al-Quran Braille kepada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Kelantan, sempena perasmian Pusat Pengajian al-Quran PERTIS Wilayah Kelantan, hari ini. 

Yang Dipertua MAIK merangkap Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan berkenaan merangkumi peralatan pembelajaran termasuk peranti e-Braille dan mesin taip Braille bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan pengajian al-Quran khusus untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

“Diharapkan sumbangan berkenaan dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran, sekaligus membuka akses ilmu yang lebih luas kepada golongan OKU penglihatan.

“Usaha ini selaras dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan sosial, pemeliharaan hak golongan istimewa dan pembinaan masyarakat berilmu serta berakhlak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian PERTIS Wilayah Kelantan, di sini, hari ini. 

Menurut beliau, pendidikan al-Quran bukan sekadar melahirkan individu yang mampu membaca dan menghafaz, sebaliknya membentuk insan yang memahami, menghayati serta mengamalkan kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah, pada hari ini MAIK terus memastikan golongan istimewa ini tidak dipinggirkan, sebaliknya diberi perhatian sewajarnya agar setiap lapisan masyarakat memperoleh hak dan keistimewaan masing-masing, khususnya dalam bidang pendidikan al-Quran.

“Diharapkan penubuhan pusat pengajian al-Quran ini boleh menjadi pusat bagi golongan orang kelainan upaya untuk mempelajari, menghafaz serta mentadabbur al-Quran dan mendalami pelbagai ilmu agama,”katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Kelas Pengajian al-Quran Braille dilaksanakan di premis sewaan di Padang Mokkan, Kota Bharu dengan sebahagian pembiayaan disumbangkan oleh MAIK. 

“Alhamdulillah, MAIK kini memindahkan operasi kelas pengajian ini ke sebuah rumah wakaf yang lebih selesa dan kondusif.

“Lokasi baharu yang lebih strategik ini diharap dapat menarik lebih ramai pelajar, khususnya dalam kalangan golongan OKU penglihatan,” katanya.

Dalam usaha memastikan kelas pengajian al-Quran Braille dapat dijalankan secara berterusan dan berkesan, MAIK turut melantik seorang guru agama, Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi, yang juga OKU penglihatan.

Beliau berkata, penubuhan pusat pengajian itu mencerminkan kerjasama erat antara institusi masyarakat dan MAIK dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh pendidikan Islam mesra OKU di negeri ini.

“Keterbatasan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kemuliaan di sisi Allah. Yang lebih utama ialah keimanan, keikhlasan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu, khususnya ilmu al-Quran,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pewakaf, Allahyarham Datuk Dr. Fathil Mohamed serta ahli keluarga atas sumbangan yang membolehkan pusat pengajian berkenaan direalisasikan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here