Home Buletin Semasa API MARAK MUSNAHKAN TINGKAT ATAS RUMAH DI KAMPUNG BEREK 12

API MARAK MUSNAHKAN TINGKAT ATAS RUMAH DI KAMPUNG BEREK 12

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: “Saya sangkakan bunyi orang bergaduh di dalam bilik adik bongsu kerana bunyinya sangat kuat,” kata Kamarul Hazwan Mohd Nor, 41, mangsa kebakaran di Kampung Berek 12, di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik terdengar bunyi berkenaan, dia terus keluar dari biliknya di tingkat atas rumahnya sebelum mendapati api sedang marak di dalam bilik adik bongsunya.

“Adik bongsu saya buka pintu biliknya dan ketika itu asap sudah memenuhi ruang manakala api pula semakin marak.

“Kami segera keluar dan membawa ibu kami, Faizah Ismail, 69, ke luar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Kamarul berkata, kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan barangan di tingkat atas rumahnya dan tidak dapat diselamatkan, namun bahagian tingkat bawah masih berada dalam keadaan selamat.

Anak keempat daripada lima beradik itu turut memaklumkan adik bongsunya mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal ketika berada di luar rumah sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I, Engku Mohd Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.56 tengah hari.

“Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, BBP Kota Darulnaim dan BBP Pengkalan Chepa digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jentera yang terlibat dalam operasi pemadaman termasuk lori tangki air, jentera Emergency Fire Rescue Tender (EFRT), Aerial Ladder Platform (ALP), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta kenderaan sokongan Hilux dan Urvan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan Bahagian Forensik Kebakaran,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here