LONDON: Penyerang Manchester United, Joshua Zirkzee dilaporkan menangis dalam terowong selepas digantikan pada babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle.
Zirkzee terpaksa ‘dikorbankan’ oleh bos United, Ruben Amorim selepas Red Devills ketinggalan 2-0 di laman sendiri kepada Newcastle di Old Trafford awal pagi semalam.
Pemain yang dibeli dengan harga £36.5 juta (RM204 juta) pada musim panas lalu, dikeluarkan pada minit ke-33 perlawanan itu, dengan peminat tuan rumah mencercanya ketika dia digantikan.
Sebaik tiba di bangku simpanan, Zirkzee mengambil bajunya dan pantas menuju ke terowong.
Menurut beIN Sports dan Sky Germany, Zirkzee dilihat menangis di terowong selepas dikeluarkan dan dicemuh peminat United.
Zirkzee akhirnya kembali ke bangku simpanan Manchester United beberapa minit kemudian memegang satu botol minuman.
Selepas perlawanan, Amorim mengakui Zirkzee “menderita” ketika dia mengharungi musim sulung sukar sejak berpindah ke EPL, menambah pertukaran awal itu satu keputusan yang “benar-benar sukar” buatnya.
Bos United itu menegaskan Zirkzee kekal pemain penting buat kelab itu dan menyebut Harry Maguire sebagai contoh pemain bintang yang bekerja keras di sebalik tempoh sukar di kelab itu.
“Saya bercakap dengan Josh mengenainya, kerana ia penting untuk meluahkan mesej, tetapi saya sering memikirkan mengenai pasukan dan ketika itu, ia penting buat pasukan untuk mengeluarkan Josh,” kata Amorim kepada Sky Sports.
“Anda perlu memikirkan mengenai pasukan dan juga, kadang-kadang mengenai pemain, kerana pemain menderita. Saya berada di sana beberapa tahun lalu dan saya sedar dia mahukannya, kerana saya saksikan sepanjang minggu dan ia perkara paling penting.
“Dia seorang pemain yang bagus, jadi anda akan mendapat sokongan dan anda akan bersedia bagi perlawanan berikutnya.”
Amorim berkata keputusan untuk mengeluarkan Zirkzee kerana United memerlukan seorang lagi pemain tengah dengan Kobbie Mainoo tampil untuk membantu Red Devils menangani perlawanan itu. United tewas 2-0. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






