Home Sukan PEMAIN BOLA SEPAK WANITA IRAN LATIH BERSAMA KELAB AUSTRALIA

PEMAIN BOLA SEPAK WANITA IRAN LATIH BERSAMA KELAB AUSTRALIA

BRISBANE, AUSTRALIA: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian dua pemain bola sepak wanita Iran menjalani latihan bersama kelab Australia, Brisbane Roar selepas memohon suaka di negara itu, dengan salah seorang memuat naik gambar bersama pegawai kanan FIFA disertai kapsyen: “Semua akan baik-baik saja.”

Tujuh ahli delegasi bola sepak Iran yang bertanding pada Piala Asia Wanita minggu lalu mencari perlindungan di Australia selepas mereka dituduh sebagai “pengkhianat” negara sendiri kerana enggan menyanyikan lagu kebangsaan ketika perlawanan pembukaan.

Hanya dua pemain, Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanisadeh kekal di Australia selepas yang lain menukar fikiran dan memutuskan untuk pulang.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa Tehran menekan atlet di luar negara dengan mengancam keluarga mereka atau merampas harta jika mereka melarikan diri atau membuat kenyataan menentang Republik Islam itu.

Sebaliknya, pihak berkuasa Iran menuduh Australia menekan pemain supaya kekal di negara itu.

“Selamat datang, Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanisadeh,” kata Kaz Patafta, Ketua Pegawai Eksekutif Brisbane Roar, ketika menyiarkan gambar kedua-dua pemain berlatih dan tersenyum bersama pasukan wanita A-League semalam.

“Hari ini, Brisbane Roar secara rasmi mengalu-alukan kedua-dua pemain di fasiliti latihan kelab untuk menyertai latihan bersama skuad wanita A-League kami,” katanya.

“Kami komited menyediakan persekitaran yang menyokong mereka.”

Pasandideh memuat naik gambar dirinya di Instagram bersama Ketua Pegawai Bolasepak FIFA, Jill Ellis – bekas jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) – dengan kapsyen: “Semua akan baik-baik saja.”

Kedua-dua pemain itu ditempatkan di lokasi yang dirahsiakan dan menerima sokongan daripada kerajaan serta komuniti diaspora Iran di Australia.

Drama itu berlaku di tengah-tengah konflik di Asia Barat yang tercetus selepas serangan udara AS-Israel ke atas Iran.

Selepas berita minggu lalu pemain diberi perlindungan, Brisbane Roar mengeluarkan kenyataan mereka mahu mengalu-alukan pemain bola sepak Iran itu.

“Kami berbesar hati membuka pintu dan menawarkan ruang untuk anda berlatih, bermain dan berasa diterima, serta akan mula meneroka cara untuk merealisasikannya.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here