Home Luar Negara TRUMP KRITIK NEWSOM, PRESIDEN TAK BOLEH ADA MASALAH PEMBELAJARAN

TRUMP KRITIK NEWSOM, PRESIDEN TAK BOLEH ADA MASALAH PEMBELAJARAN

119
0

WASHINGTON: Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memaklumkan seorang presiden tidak sepatutnya mempunyai masalah pembelajaran, sekali gus mengulangi kenyataannya yang ditujukan kepada Gabenor California, Gavin Newsom sejak beberapa hari lalu.

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, Trump merujuk kepada pengakuan terbuka Newsom mengenai disleksia yang dialaminya iaitu sejenis masalah pembelajaran dan mencadangkan keadaan sedemikian sepatutnya melucutkan kelayakan seseorang daripada jawatan presiden.

Newsom ketika ini menonjol sebagai calon berpotensi Parti Demokrat dalam Pilihan Raya Presiden 2028 dan sering berbalas kenyataan pedas dengan Trump yang turut memberi gelaran ‘Newscum’ kepada ahli politik dari California itu.

“Gavin ‘Newscum’ sudah mengakui bahawa dia mempunyai masalah pembelajaran. Sejujurnya, saya menyokong orang yang mempunyai masalah pembelajaran, tetapi bukan untuk presiden saya.

“Saya tidak mahu, saya fikir seorang presiden tidak sepatutnya mempunyai masalah pembelajaran. Saya tahu ia sangat kontroversi untuk mengatakan perkara yang begitu buruk mengenai presiden Amerika Syarikat.

“Gavin Newscum mengakui bahawa dia mempunyai masalah pembelajaran, disleksia, semuanya mengenai dirinya adalah bodoh,” katanya kepada wartawan.

Selaran itu sekurang-kurangnya kenyataan ketiga yang dikeluarkan Trump dalam beberapa hari ini, menyasarkan Newsom berhubung masalah disleksia dialami, yang pernah diulas gabenor itu dalam beberapa temu bual serta dalam bukunya.

Dalam satu perbualan dengan Datuk Bandar Atlanta di Georgia Februari lalu, Newsom menyentuh mengenai skor SAT diperolehnya yang lebih rendah dan berkata beliau tidak membaca teks ucapan sebagai gabenor kerana disleksia.

Trump juga membuat kenyataan serupa pada Jumaat dalam temu bual dengan hos Fox News, Brian Kilmeade.

“Dia mengakui mempunyai masalah pembelajaran. Ada yang berkata, ‘Apa salahnya?’ Saya kata, ‘tidak mengapa, tetapi bukan untuk Presiden’,” kata Trump dalam temu bual itu.

“Presiden tidak boleh mempunyai masalah pembelajaran. Jika ada, itu bukan perkara yang baik,” katanya.

Pasukan Newsom membalas kenyataan Trump pada Isnin dengan memuat naik video bersifat sinis yang memotong klip kenyataan itu sehingga seolah-olah Trump mengatakan Newsom ialah Presiden Amerika Syarikat. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here