Home Buletin Semasa LEBIH 24,000 KENDERAAN DIKESAN LANGGAR HAD LAJU KAMERA AWAS

LEBIH 24,000 KENDERAAN DIKESAN LANGGAR HAD LAJU KAMERA AWAS

100
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan sebanyak 24,135 kes pelanggaran had laju menerusi pengoperasian kamera Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu sepanjang 17 Februari hingga 5 Mac lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15,553 kes melibatkan kenderaan dari arah Kota Bharu, manakala 8,582 kes dari arah Kuala Terengganu.

“Berdasarkan analisis harian, jumlah pelanggaran tertinggi direkodkan pada 20 Februari dengan 1,771 kes, manakala jumlah terendah pada 5 Mac dengan 969 kes.

“Secara purata, lebih daripada 1,400 kes pelanggaran had laju direkodkan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau pengoperasian kamera AWAS negeri Kelantan di hadapan Istana Kubang Kerian, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, terdapat tiga unit kamera AWAS dipasang di Kelantan termasuk di Kilometer (KM) 17 Jalan Gua Musang–Kuala Krai dengan had laju 90 kilometer sejam.

“Dalam masa terdekat, satu lagi kamera AWAS akan dipasang di KM 116 Lebuh Raya Timur Barat Jalan Jeli-Grik.

“Kamera ini berfungsi untuk mengesan pelanggaran had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat, pusingan U tidak sah serta pemantauan persekitaran jalan raya,” katanya.

Jelasnya, kamera AWAS juga berfungsi menggantikan sistem Automated Enforcement System (AES) yang lama dengan plebagai ciri baharu seperti Automated Number Plate Recognition (ANPR) dan mampu memantau sehingga 360 darjah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here