Home Luar Negara PELAJAR TIKAM 3 MURID PEREMPUAN DALAM SEKOLAH DI FINLAND

PELAJAR TIKAM 3 MURID PEREMPUAN DALAM SEKOLAH DI FINLAND

358
0

HELSINKI: Seorang pelajar lelaki menikam tiga murid perempuan berusia bawah 15 tahun di sebuah sekolah di Finland pada Selasa.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian serangan dilakukan selepas suspek mengedarkan satu nota yang menyatakan hasratnya untuk menyerang golongan perempuan, menurut pihak polis.

Ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa dan suspek ditahan tidak lama selepas serangan di Pirkkala, barat daya Finland, kata Ketua Polis Superintenden Jari Kinnunen kepada media.

Beliau enggan mengulas mengenai motif serangan, namun berkata pihak berkuasa ‘tiada sebab untuk meragui’ bahawa suspek adalah penulis nota yang dihantar ke beberapa pertubuhan media.

“Terdapat petunjuk dalam nota itu bahawa pemilihan mangsa wanita dilakukan secara sengaja,” kata Kinnunen sambil menambah bahawa ketiga-tiga mangsa ‘difahamkan dari sekolah yang sama’.

Polis tidak mengulas sama ada suspek mengenali mangsanya atau bagaimana mereka dipilih.

Butiran lanjut mengenai kecederaan mangsa atau senjata yang digunakan tidak didedahkan, namun polis menyatakan kes disiasat sebagai cubaan membunuh.

Stesen penyiaran awam YLE melaporkan seorang mangsa ditikam di leher, seorang lagi di tangan dan seorang ketiga di bahagian pinggang.

Media tempatan mengenal pasti suspek sebagai remaja berusia 16 tahun, namun polis hanya mengesahkan bahawa beliau ialah ‘seorang pelajar lelaki’ di sekolah terbabit, yang berusia bawah 18 tahun.

Sekolah rendah dan menengah Vahajarvi di Pirkkala menempatkan kira-kira 1,250 murid berusia antara enam hingga 15 tahun.

Satu rakaman video serangan itu dilaporkan tersebar dalam talian, namun Kinnunen berkata pihak polis belum dapat mengesahkan keasliannya.

Menurut YLE, video berkenaan menunjukkan individu berpakaian gelap dengan muka tertutup, bergerak di sekitar kawasan sekolah dan menyerang pelajar.

Pada penghujung video itu, kedengaran pergelutan dan jeritan.

Beberapa media Finland melaporkan telah menerima manifesto berkenaan.

YLE menyatakan manifesto itu mengandungi sebab-sebab serangan serta perancangan penggunaan pisau.

Penulis manifesto didakwa menyatakan hasrat untuk melakukan sesuatu yang ‘penting’ dan ‘mendebarkan’, dengan matlamat untuk dipenjarakan selama dua hingga empat tahun.

YLE turut melaporkan bahawa penulis manifesto mengaku tidak mempunyai rakan dan tidak berminat untuk berkawan, selain telah merancang serangan itu selama kira-kira enam bulan.

Polis berkata mereka menerima laporan mengenai serangan itu pada jam 10.42 pagi (0742 GMT), dan suspek ditahan di dataran pasar berhampiran sekolah lapan minit kemudian.

Kinnunen berkata suspek tidak dikenali atau dikehendaki pihak polis sebelum serangan berlaku. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here