Oleh: Wartawan IMedikel TV
KLUANG: Seorang pelajar tahun satu maut selepas dilanggar bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bungan Raya 3, Taman Sri Lalang di sini hari ini.
Kanak-kanak yang tersebut dikenali Mohammad Umar Mohd Faaiz, berumur tujuh tahun.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komosioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 4.20 petang membabitkan pejalan kaki dan bas sebuah sekolah jenis Hino dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.
“Siasatan mendapati bas sekolah itu yang dipandu seorang wanita warga tempatan telah menurunkan seorang pelajar sekolah terbabit di Jalan Bunga Raya.
“Setelah menurunkan murid lelaki terbabit, bas sekolah tersebut membelok ke Jalan Bunga Raya 3 dan dipercayai melanggar mangsa yang berada di sebelah kiri Jalan Bunga Raya 3,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bahrin berkata, akibat pelanggaran tersebut, pelajar terbabit jatuh atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu bas trauma dan pengsan di tempat kejadian, Pemandu terbabit kini masih terima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
“Ujian air kencing dijalankan terhadap pemandu bas dibuat dan negatif. Suspek akan ditangkap dan ditahan dalam lokap untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, bertimbang rasa serta mematuhi undang-undang di atas jalan raya supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Khususnya pemandu bas sekolah perlu memastikan keselamatan murid sekolah yang menaiki bas sekolah mereka ditahap optimum sebelum meneruskan perjalanan mereka,”katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui 07-7784222; hotline 07-7766822; direct line 07-7784256 dan tablet DCC 014-365682.
IMedikel TV






