Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Kreativiti sekumpulan pelajar sebuah sekolah Maahad Tahfiz Sains Bustanul Ariffin di Tumpat mencuri tumpuan apabila mereka menghasilkan inovasi dikenali sebagai Sky Hanger iaitu alat penyidai pakaian yang direka khas bagi menyelesaikan masalah mengeringkan baju ketika musim hujan.
Inovasi unik itu turut dipertandingkan dalam Pertandingan Creative Research and Innovation (CRI) 2025 serta karnival STEM Kebangsaan 2025 Bersempena Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan.
Menurut wakil kumpulan berkenaan, Adam Amsyar Abdullah, 14, tercetusnya idea Sky Hanger itu apabila mereka berdepan kesukaran menjemur pakaian di asrama yang sentiasa lembap dan tidak kering ketika musim hujan.

“Ideanya tercetus apabila ada yang mengalami masalah menyidai pakaian dan tiba-tiba hujan.
“Sistem ampaian ini dilengkapi dengan Sensor Cahaya (LDR) dan Sensor Hujan (RAINDROP) yang membolehkan ampaian ini tertutup dengan sendirinya.
“Ampaian ini juga dilengkapi dengan kawalan manual. Pengguna boleh mengawalnya mengikut kehendak mereka,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di Pertandingan CRI 2025 serta karnival STEM Kebangsaan 2025 Bersempena Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI@Kelantan), di UMK Kampus Bachok, di sini, pada Selasa.
Kumpulan itu turut disertai pelajar Tingkatan Dua sekolah berkenaan termasuk Ahmad Hakam Al Hariq Ahmad Rizal, Muhammad Naimullah Muhamad Khairi dan Muhammad Faiq Hafiy Hasmuddin dengan bimbingan guru pengiring Muhammad Ziad Zulmajdi Mat Ali.
Menurut Adam Amsyar kos untuk mencipta replika ampaian itu adalah kurang RM50.
Katanya mereka mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan kajian dan menyiapkan reka cipta itu.
Inovasi Sky Hanger tersebut mendapat pingat gangsa dalam pertandingan itu sekali gus menjadikan ia contoh bagaimana pelajar tahfiz turut mampu menghasilkan idea inovatif yang praktikal dan mesra pengguna.
IMedikel TV






