Oleh: Alini Nadhirah Ismail, Wartawan Imedikel TV
Bergelar seorang pelajar dan pada masa yang sama harus menjalani kehidupan yang seimbang amat mencabar tambah lagi berada dalam kos sara hidup yang tinggi.
Segala harga barangan melonjak naik membuatkan pelajar perlu memikirkan cara untuk berjimat serta bijak dalam perbelanjaan harian.
Sekiranya pelajar tersebut melanjutkan pengajian di universiti sekitar ibu kota atau bandar besar kos perbelanjaan harian mungkin akan lebih tinggi.
Bagi sesetengah pelajar dari keluarga berada, perbelanjaan yang banyak mungkin tidak menjadi masalah.
Namun bagi mereka yang menyambung pengajian menggunakan wang pinjaman, biasiswa atau bersandarkan pemberian ibu bapa mungkin perlu memikirkan inisiatif lain dalam perbelanjaan harian mereka.

Ain Husni 24, pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di sebuah Universiti Awam berkongsikan beberapa cara dan juga tips bagi pelajar untuk berjimat dan bijak menguruskan perbelanjaan.
“Antara cara berjimat cermat di universiti yang di kongsikan Ain adalah seseorang pelajar itu perlu membeli barangan mengikut keperluan, mengelak daripada pembaziran, kurangkan keluar dengan kawan-kawan yang suka membeli-belah dan kurangkan untuk ‘reward’.
“Seterusnya, tetapkan bajet harian, kurangkan kos, contohnya elakkan melanggan data sendiri, guna wifi kolej atau universiti, naik bas uni berbanding order grab dan banyakkan melibatkan diri dalam program yang dapat makanan percuma, pada masa yang sama pelajar dapat ilmu sekali,”katanya.

Tips bijak menguruskan wang juga turut dikongsikan Ain, di mana pelajar perlulah mencari pendapatan sampingan, secara tidak langsung mereka dapat menambah duit poketnya sendiri.
Tips seterusnya adalah buat tabung khas sehari dan menyimpan walaupun RM 1 atau menyimpan mengikut warna duit.
Sudah semestinya sebagai seorang pelajar, segelintir daripadanya mungkin mempunyai pelbagai kekangan untuk berjimat. Namun masih ada buat mereka ruang-ruang untuk lebih teliti terhadap keadaan kewangan mereka sendiri. Segala wang perbelanjaan yang diberikan ibu bapa ataupun wang hasil simpanan sendiri haruslah digunakan dengan bijak dan berjimatlah semasa menggunakannya.
Imedikel TV






