Home Buletin Semasa PEGUAM KEMUKA EMPAT PERKARA BERKENAAN ZARA QAIRINA KEPADA AGC

PEGUAM KEMUKA EMPAT PERKARA BERKENAAN ZARA QAIRINA KEPADA AGC

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA KINABALU: Pasukan peguam ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45, menyifatkan pengambilalihan Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu itu sebagai perkembangan positif bagi merungkai kes itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi memaklumkan, tindakan itu selaras dengan salah satu daripada empat permintaan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 5 Ogos lalu.

“Permintaan tersebut termasuk mengembalikan kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka semula siasatan serta melantik pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

“Turut dimohon ialah tindakan menggali semula kubur Zara bagi membolehkan satu bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca sebenar kematian, selain mengadakan inkues bagi menilai sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian arwah Zara,

“Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya menentukan bahawa wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah, bagi mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, 13.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here