Home Buletin Semasa REMAN ISTERI, DUA ANAK DOKTOR DISAMBUNG ENAM HARI

REMAN ISTERI, DUA ANAK DOKTOR DISAMBUNG ENAM HARI

387
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tempoh reman ke atas isteri dan dua anak lelaki seorang doktor yang ditahan bersama 35 kilogram (kg) ganja mampat serta sepucuk pistol di sebuah banglo di Ketereh, di sini disambung enam hari lagi.

Perintah reman mula berkuatkuasa bermula esok sehingga Isnin depan dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu suspek tiba di mahkamah Kota Bharu dengan menaiki trak polis kira-kira jam 8.45 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 23, 34, dan 46 sebelum ini ditahan pada 5 Ogos lalu dan direman pertama kali selama tujuh hari yang berakhir pada Selasa.

Penahanan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kira-kira jam 4.30 pagi di kediaman mereka.

Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock, 16 butir peluru, serta empat kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan
RM420,000.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan wanita terbabit adalah suri rumah, manakala dua anak lelakinya bekerja di klinik tersohor milik suaminya yang berusia 60-an.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methamphetamine dan ketamin, namun suspek wanita negatif.

Polis turut mengesahkan suspek wanita mengetahui kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan anak-anaknya.

Ketika serbuan doktor berkenaan tiada di rumah namun telah dipanggil untuk memberi keterangan dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan jenayah yang berlaku di kediamannya.

Ketua kumpulan pengedaran yang dikaitkan dengan kes ini dilaporkan sudah dipenjara sejak 2023, namun kegiatan jenayah didakwa diteruskan oleh ahli keluarga terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan reman kesemua suspek disambung.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here