KUALA LUMPUR: Pernah terjerumus dalam kancah dadah sehingga ditahan dan melalui kehidupan yang memeritkan di penjara seterusnya bangkit kembali.
Penyanyi, Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail pernah meniti zaman populariti sehingga mengakibatkan dia lupa diri dan melalui detik hitam dengan penyalahgunaan dadah.
Ameng yang dilantik sebagai Ikon Anti Dadah 2025 memaklumkan, generasi sekarang kini terdedah kepada dadah jenis pil kuda atau nama popularnya pil yaba.
Ameng berkata, pil yaba sangat berbahaya kerana dihasilkan dari campuran pelbagai bahan sintetik dan kesannya boleh membuatkan seseorang itu gila.
“Saya tak pernah kenal pil yaba sebab waktu saya terbabit dalam gejala ini, tak ada lagi benda itu. Ia lebih kuat dari dadah jenis lain. Penggunanya boleh kena halusinasi.
“Inilah yang ditekankan oleh pihak berkuasa sekarang. Sebab kesan dadah jenis sintetik ini boleh bawa kepada membunuh. Yang banyak berlaku jenayah kerana dadah jenis sintetik ini.
“Kes bunuh, bergaduh, kes samun dan kes-kes yang berat-berat ini sebenarnya berpunca daripada dadah jenis sintetik,” katanya kepada Harian Metro.
Ameng berkata, kerajaan kini berusaha mengekang pengedaran dadah terbabit dengan menguatkan kawalan di pintu sempadan.
“Yang akan datang ini kita akan buat program dekat Besut, Terengganu iaitu di Bukit Keluang sebab Bukit Keluang sekarang jadi anak angkat, kampung angkat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Selepas buat bancian, AADK katavkita nak tumpu pada empat negeri yang tertinggi kes dadah iaitu pertama Terengganu, Kelantan, Perak dan yang keempat Kedah,” katanya.
Terdahulu, Ameng diangkat sebagai Ikon Anti Dadah 2025 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Julai lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






