Home Luar Negara PBB LULUSKAN UCAPAN PRESIDEN PALESTIN ABBAS MENERUSI VIDEO SELEPAS AS TOLAK PERMOHONAN...

PBB LULUSKAN UCAPAN PRESIDEN PALESTIN ABBAS MENERUSI VIDEO SELEPAS AS TOLAK PERMOHONAN VISA

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengundi untuk membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk berucap di perhimpunan tahunan pemimpin dunia minggu depan menerusi video selepas Amerika Syarikat (AS) berkata ia tidak memberinya visa untuk ke New York.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian resolusi itu menerima 145 undi menyokong dan lima undi menentang, manakala enam negara berkecuali. Ia juga membenarkan Abbas dan mana-mana pegawai tinggi Palestin lain untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat atau persidangan PBB menerusi video sepanjang tahun depan jika mereka dihalang daripada melakukan perjalanan ke AS.

AS bulan lalu berkata, Abbas dan kira-kira 80 rakyat Palestin lain akan terjejas oleh keputusannya untuk menolak dan membatalkan visa daripada ahli Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat.

“Penentangan AS terhadap resolusi ini tidak seharusnya mengejutkan,” kata diplomat AS, Jonathan Shrier sebelum undian.

“Pentadbiran Trump telah jelas, kami mesti mempertanggungjawabkan PLO dan Pihak Berkuasa Palestin kerana tidak mematuhi komitmen mereka di bawah Perjanjian Oslo, sebahagian daripadanya sangat asas, dan kerana melemahkan prospek untuk keamanan,” katanya.

Di bawah perjanjian ibu pejabat PBB 1947, AS secara amnya dikehendaki membenarkan akses untuk diplomat asing ke PBB di New York.

Bagaimanapun, Washington berkata ia boleh menolak visa atas sebab keselamatan, ekstremisme dan dasar luar negara.

Abbas juga akan dibenarkan untuk muncul menerusi video di sidang kemuncak PBB pada Isnin yang dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi bertujuan untuk mengumpulkan sokongan untuk penyelesaian dua negara.

Beberapa negara dijangka akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada mesyuarat itu.

Semalam, perhimpunan Agung PBB yang mempunyai 193 anggota bersetuju secara konsensus, tanpa undian bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, pemerintah de facto kerajaan itu, boleh muncul menerusi video pada mesyuarat Isnin. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here