Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Berada ditangga ketiga saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Pahang Rangers FC tampil dengan misi mencatat dua kemenangan pada saingat sirkit kelapan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor, Sabtu dan Ahad ini.
Skuad bimbingan Eloy Alonso Fraile akan berhadapan USM dan PFA ODIN dengan misi menjinakkan lawan dalam usaha memperbaiki kedudukan liga yang kini diterajui Selangor FC diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut Fraile, barisan pemain Pahang Rangers perlu bangkit mencatat kemenangan pada sirkit kelapan kali ini sekiranya ingin terus berada pada kedudukan dua terbaik musim ini.
Katanya, di atas kertas Pahang Rangers mampu menjinakkan lawan, namun pemain tidak boleh terlalu yakin kerana perkara buruk menanti sekiranya terlalu mengambil mudah pada lawan.

“Saya berharap enam mata dapat dibawa pulang pada sirkit kelapan kali ini, sebelum kita bersaing pada sirkit ke sembilan bertemu pasukan Wipers di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Selangor.
“Selepas selesai sirkit kelapan Pahang Rangers kini berjaya mengumpul 28 mata dibelakang Selangor FC dengan 39 mata dan JDT mendapat 31 mata,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, selepas berehat panjang aksi lebih bersemangat diharap dapat dipamerkan barisan pemain Sabtu dan Ahad ini, mereka perlu fokus pada usaha memburu kemenangan di gelanggang lawan.
Pemain import Pahang Rangers, Felipe de Souza kini muncul penjaring kedua terbanyak liga dengan 24 gol berada dibelakang pemain import Selangor FC, Marlon Oliveira dengan 28 gol. Seorang lain pemain Tok Gajah, Rodrigo Da Silva berada ditangga ketiga dengan 17 jaringan.
IMedikel TV






