KUALA TERENGGANU: Kesempatan cuti persekolahan dimanfaatkan sebahagian keluarga untuk meluangkan masa bersama apabila 1,538 peserta menyertai larian santai bertemakan ‘Glow in the Dark’ sempena Festival Sains, Teknologi, Inovasi dan Matematik Terengganu (Festival STEM) 2026 di sini.
Acara yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) itu bukan sahaja menarik penyertaan golongan muda, malah turut disertai ibu bapa dan penjaga yang memilih aktiviti berkenaan sebagai pengisian masa bersama keluarga.
Bagi Nik Azuraida Nik Jusoh, 46, yang hadir bersama anak-anaknya, penyertaan dalam larian berkenaan memberi pengalaman berbeza kerana ia diadakan pada waktu malam.

“Perasaan teruja itu sudah pasti apatah lagi ianya satu pengalaman baru buat kami sekeluarga untuk menyertai acara larian seperti ini pada waktu malam. Seharusnya program seperti ini diteruskan pada edisi seterusnya seperti mana diadakan ketika ini.
“Jarak dan medal bukan faktor untuk kami ke sini, ianya lebih untuk memberi ruang untuk kami beraktiviti bersama keluarga dalam persekitaran yang selamat,” katanya.
Sementara itu, Tengku Aminuddin Tengku Sulong yang bekerja di sektor swasta di ibu negara turut mengambil peluang pulang ke kampung sempena cuti persekolahan untuk menyertai acara berkenaan bersama rakan-rakannya.
“Kebetulan saya pulang bercuti ke kampung dan mengetahui program ini maka saya hadir bersama-sama dengan rakan-rakan. Cukup teruja kerana tidak sangka di kawasan jauh dari bandar ada penganjuran seperti ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata sambutan terhadap acara itu memberi gambaran positif terhadap pendekatan yang digunakan untuk mendekatkan pendidikan STEM kepada masyarakat.
“Walaupun acara larian ini hanya acara sampingan berskala kecil bagi Festival STEM 2026, maklum balas positif yang diterima khususnya ibu bapa mahupun penjaga yang hadir dengan anak-anak mereka.
“Kami tidak menolak untuk penganjuran yang lebih baik pada edisi seterusnya nanti. Ianya secara tidak langsung menjadi tambah nilai untuk merapatkan jurang pendidikan berkaitan sains yang ada di sini,” katanya.
Festival STEM 2026 berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 Ogos di PSKT dengan pelbagai aktiviti berkaitan sains, teknologi, inovasi dan matematik, selain turut membabitkan pemain industri berkaitan.
IMedikel TV






